GAMBAR ATAS: Borneo Post.
MAHKAMAH Khas Rasuah Kota Kinabalu diberitahu bahawa wang tunai berjuta-juta ditemui di pejabat, rumah, dan juga dalam dua kereta bekas pengarah Jabatan Air Sabah Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib.
Hishammudin Esa, ketua pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu rumah Tahir berkata wang tunai berjumlah RM23 juta itu ditemui di pantri pejabat, lapor Borneo Post. Jumlah yang ditemui termasuk wang tunai RM62,500 di dalam beg Tahir ketika pejabatnya diserbu pada 4 Okt 2016.
Wang tunai turut ditemui di meja, sofa, kabinet TV dan kabinet kayu di dalam bilik pejabat, manakala wang tunai RM8 juta ditemui di rumah Tahir, bersama 86 jam tangan mewah dan 921 barang kemas. Kira-kira RM9 juta ditemui dalam kereta Mazda dan RM4 juta dalam Mercedes Benz, katanya kepada mahkamah.
Tahir, 58, dibicarakan bersama isterinya, Fauziah Piut, 55, dan bekas timbalan pengarah jabatan air negeri Lim Lam Beng, 66. Mereka mengaku tidak bersalah atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.57 juta.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim manakala Tahir dan Fauziah diwakili Priskila Akwila Sinem dan Fareez Salleh.
Lam Beng diwakili oleh Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Calvin Wong.
Perbicaraan akan disambung semula pada 25 Julai.
-BTS Media