Oleh Zainal AS Rashid
KERJA pemulihan parit berharga RM20 juta di kota Fort Cornwallis, George Town akan siap dan dibuka kepada orang ramai menjelang 2025.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, kira-kira RM10 juta dibelanjakan untuk penggalian dan kerja-kerja sekitar kompleks bersejarah itu, dan RM10 juta lagi akan dibelanjakan untuk menyiapkannya.
Beliau berkata, bilik stor kubu yang dipelihara dan dibaik pulih kini dalam proses untuk diubah suai menjadi galeri mini.
“Pihak negeri memperuntukkan RM1.5 juta untuk membina galeri mini dan ia dijangka siap pada Ogos tahun ini,” katanya selepas lawatan tapak dan majlis prapelancaran projek parit Fort Cornwallis semalam.
Beliau berkata antara 2019 dan 2021, beberapa komponen projek pemulihan Fort Cornwallis telah siap dengan peruntukan RM4.6 juta.
Antara kerja-kerja yang telah disiapkan termasuk penggalian parit, penggalian dan pemuliharaan bilik stor dan pemuliharaan meriam.
“Kami akan memulakan komponen seterusnya untuk projek Fort Cornwallis yang kini dalam proses tender untuk melantik kontraktor bagi pembinaan semula parit berbentuk ‘L’ dan komponen tambahan, untuk menaik taraf Astaka Kota Selera,” katanya.
Beliau berkata pihak negeri itu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM14.8 juta untuk fasa lima dan enam projek, iaitu dari 2022 hingga 2025.
Projek dilaksanakan oleh George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC), yang merupakan usaha sama antara Chief Minister Incorporated dan Think City dengan Aga Khan Trust for Culture sebagai penasihat teknikal.
Chow berkata GTCDC telah menyediakan mock-up parit berukuran 200 meter persegi sebagai teknikal projek itu.
Ekologi parit adalah berdasarkan sistem penapisan hibrid yang menggunakan penapis pasir mekanikal di dalam lembangan air dan bengkung bio-retensi berasaskan tumbuhan di antara pinggir parit dan dinding glasis luar.
Parit asal di sekeliling kubu mempunyai saiz lebar berbeza-beza antara sembilan hingga 20 meter. Ia dibina dalam bentuk sekarang pada tahun 1804 oleh East India Company.
Ia dikambus pada tahun 1921 berikutan kebimbangan penularan wabak malaria.
Sebanyak 10 bilik stor yang menghadap ke ruang legar di dalam kubu dibaik pulih di bawah projek pemulihan kubu, dan akan menempatkan Program Pemuliharaan dan Museologi Kubu Cornwallis.
-BTS Media