BTS Media

Mahathir: Politik wang antara punca Pejuang kalah di Johor

GAMBAR ATAS: Shengwei95, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons

 

Amalan politik wang adalah antara punca Pejuang kalah teruk dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini, kata pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.

Pada sidang media di sini hari ini, bekas perdana menteri itu berkata, ada pihak memberikan pengundi sehingga RM300 untuk meraih undi.

“Kita dapati dalam pilihan raya, ramai pengundi diberi wang untuk undi sesuatu parti,” katanya.

“Bila kita cuba minta sokongan untuk Pejuang, mereka tanya, Pejuang nak bagi berapa banyak (wang)? kerana ada parti lain ni bagi banyak duit kepada mereka.

“Bila dapat RM200-RM300, mereka undi parti itu. Pejuang tiada duit dan kita takkan beli undi.”

Beliau berkata, Pejuang memohon sokongan pengundi kerana parti itu mahu memerangi rasuah.

“Kenapa kita nak lawan rasuah? Kerana rasuah akan menghancurkan negara,” tambahnya.

Katanya, walaupun hanya mempunyai kira-kira 5,000 ahli di Johor, Pejuang berjaya memperoleh lebih 18,000 undi, yang menurutnya menjadi bukti parti itu masih mampu menarik penyokong.

Beliau juga berkata, kekurangan undi yang diperoleh parti tersebut adalah disebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah dengan menyebut bahawa 47% daripada individu yang layak mengundi tidak berbuat demikian.

Semua 42 calon Pejuang pada PRN Johor kalah dan kehilangan wang deposit, manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu.

Leave a Comment