Oleh Yusoff A. Shariff
GRAB Malaysia berkata syarikat itu telah menarik balik tindakan menggantung tugas seorang penunggang yang terlibat dalam pergaduhan dengan dua lelaki warga Singapura di sebuah stesen minyak di Johor Bahru baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan pada 22 Jun syarikat itu berkata penunggang tersebut sedang bertugas menghantar makanan ketika kejadian itu berlaku, lapor The Star.
Menurut Grab lagi, mereka juga menerima laporan daripada orang ramai berhubung kejadian itu yang dikatakan berkaitan keselamatan awam.
Grab berkata, sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga, akaun penunggang itu digantung sementara siasatan dilakukan berhubung kejadian tersebut.
Bagaimana pun, syarikat itu juga memohon maaf kepada penunggang itu “jika dia berasa telah dilayan secara tidak adil”, dan menjelaskan bahawa tindakan yang seolah-olah keras itu adalah perlu kerana kebimbangan berhubung keselamatan.
Sebelum ini, beberapa pengguna Twitter mendakwa mereka akan memboikot Grab Malaysia dan memadam aplikasi Grab selepas media melaporkan penunggang berkenaan telah digantung tugas.
Penunggang itu juga dilaporkan telah berkongsi berita penggantungan tugasnya di TikTok pada 21 Jun.
Menurut siasatan polis Johor, kejadian di stesen minyak pada 16 Jun itu berlaku apabila penunggang terbabit dikatakan menegur dua lelaki warga Singapura kerana mengisi petrol ke dalam tong. Kejadian itu dirakam dan video menjadi tular di media sosial.
-BTS Media