BTS Media

Faizal: Spekulasi mengenai Muhyiddin, Hamzah agenda dicetus oleh musuh BERSATU

Oleh Yusoff A. Shariff

SPEKULASI kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin bertelagah sesama sendiri adalah sesuatu yang diada-adakan oleh musuh politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau percaya ada pihak pihak yang mahu mencetuskan perpecahan dalam kalangan pemimpin BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).

“Agenda parti lawan tertentu adalah untuk melihat kami berpecah tetapi hakikatnya, ikatan antara pemimpin PN sangat kuat.

“Tumpuan kami adalah untuk memperjuangkan nasib rakyat yang banyak terjejas dengan pelbagai masalah ekonomi, kos kehidupan yang semakin meningkat dan banyak lagi,” katanya kepada NST.

Walaupun begitu, Faizal berkata hubungan antara pemimpin dalam BERSATU dan PN tetap baik.

Semalam, sumber memberitahu sebuah portal dalam talian bahawa spekulasi berleluasa kononnya Muhyiddin, yang merupakan presiden BERSATU dan Hamzah, setiausaha agung parti, bertelagah mengenai hala tuju parti itu.

Sumber itu mendakwa perbezaan tersebut kononnya berkaitan cara PN dan BERSATU sepatutnya bergerak.

Khabar angin itu adalah susulan laporan baru-baru ini yang mencadangkan supaya digantikan ketua pembangkang di Parlimen.

Sumber itu juga memberitahu portal dalam talian tersebut bahawa PN sedang mempertimbangkan antara ahli parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Ketereh Datuk Khlir Nor untuk menggantikan Hamzah.

Mereka, bagaimana pun, telah menafikan berlaku sebarang perpecahan antara kedua-dua pemimpin itu.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris juga berkata cakap-cakap mengenai keretakan antara dua pemimpin tertinggi BERSATU telah dijangka ketika pilihan raya negeri semakin hampir, dan dakwaan itu berdasarkan “sumber yang tidak boleh dipercayai” dan merupakan serangan politik yang tidak berkesan.

-BTS Media

Leave a Comment