PELARIAN Rohingya di Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi akan dapat melakukannya tidak lama lagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kata penasihat Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Emeritus Dr Morshidi Sirat.
Katanya, universiti itu dipilih sebagai institusi yang akan mendaftarkan pelarian Rohingya sebaik sahaja program itu diwujudkan.
“UIAM dipilih berdasarkan reputasi dan pengalamannya untuk projek ini,” katanya.
Peluang pengajian tinggi untuk Rohingya ini akan dibiayai oleh derma AS$50 juta (kira-kira RM231 juta) daripada Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum 2020.
“Skop bantuan (sumbangan) daripada kerajaan Qatar itu atas tujuan pendidikan, kesihatan, dan kemandirian pelarian Rohingya di negara ini,” kata Morshidi.
Dia berkata demikian pada majlis perasmian Bengkel Penyelidikan ASB-UNHCR ketiga mengenai Kajian Pelarian dan Pemindahan Paksa sempena Hari Pelarian Sedunia di Kuala Lumpur semalam.
Dana untuk bantuan kesihatan telah pun disalurkan oleh Yayasan Kebajikan Negara yang bertindak sebagai penyelaras dana tersebut.
Pada 2020, kebimbangan telah dibangkitkan mengenai pengagihan derma AS$50 juta tersebut. Bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan sumbangan itu belum diterima oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Pendedahan ini dibuat selepas presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan menerima wang itu ke dalam akaun peribadinya dan menggesa kerajaan menjelaskan bagaimana dana itu digunakan.
Morshidi berkata perbincangan mengenai kursus yang sesuai ditawarkan oleh universiti itu dimulakan semasa lawatan menteri (Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin) ke Qatar bulan lepas.
Bagaimanapun, tidak pasti jika mana-mana sijil pendidikan mereka yang diperoleh di UIAM akan mendapat akreditasi kerajaan Malaysia.
Hab pendidikan
Morshidi memberitahu Malaysiakini isu berkenaan perlu ditangani oleh kementerian.
Dia berkata Malaysia sedang berusaha untuk menjadi hab pengajian tinggi antarabangsa di rantau ini, yang turut menjadikan negara bersedia menyediakan pendidikan tinggi untuk pelarian dan penduduk dari wilayah konflik.
“Kami menempatkan 20 universiti awam, 435 institusi pengajian tinggi swasta, 105 kolej komuniti, dan 36 politeknik.
“Pelarian boleh mengakses pendidikan dalam bentuk konvensional atau fleksibel,” katanya.
Selain itu, Morshidi berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga bercita-cita untuk menyumbang kepada landskap pendidikan global dengan melibatkan diri secara langsung dalam memajukan pendidikan untuk belia di negara konflik.
Katanya, ini akan dilakukan melalui penglibatan KPT dengan Yayasan Qatar.
Baca lagi: https://m.malaysiakini.com/news/669196?utm_source=dlvr.it&utm_medium=twitter