BTS Media

Pejuang masyarakat pelarian Rohingya desak dihentikan kebencian

GAMBAR ATAS: Zlatica Hoke (VOA), Public domain, via Wikimedia Commons

 

Oleh Zainal AS Rashid

PELARIAN Rohingya di Malaysia dilaporkan berdepan kempen kebencian melampau.

Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (Merhrom) Zafar Ahmad Abdul Ghani, menyeru pihak yang terlibat dalam kempen kebencian terhadap masyarakat itu supaya menghentikan kegiatan tersebut, terutama pada bulan Ramadan yang mulia ini.

“Pelarian bukan ancaman; kami adalah mangsa perang, pembunuhan beramai-ramai, dan konflik…yang melarikan diri dari negara kami untuk mencari perlindungan.

“Kami bukan datang ke sini untuk mencuri pekerjaan penduduk tempatan atau mengambil alih negara. Kami ke sini untuk mendapatkan perlindungan buat sementara waktu sehingga (UNHCR) menemui penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zafar mendakwa, penduduk Rohingya hidup dalam ketakutan akibat gangguan penduduk tempatan, termasuk kejadian langgar lari dan serangan fizikal.

Ini mengakibatkan pelarian Rohingya menghadapi masalah kewangan memandangkan mereka tidak dapat bekerja kerana takut diserang penduduk tempatan, katanya.

Pada tahun 2020, Zafar menghadapi tuduhan palsu di TikTok dan Facebook bahawa kononnya beliau menuntut kewarganegaraan Malaysia dan hak sama rata untuk komuniti Rohingya di Malaysia.

“Ia telah menimbulkan provokasi dalam kalangan orang ramai dan meningkatkan kemarahan rakyat Malaysia. Ini adalah berita palsu yang masih dipercayai ramai hingga mengakibatkan pelarian Rohingya menghadapi gangguan berterusan dan jenayah kebencian, “katanya lagi.

Zafar berkata, beliau memahami ketidakpuasan hati rakyat Malaysia terhadap isu tertentu berkaitan pelarian Rohingya, dan beliau berharap dapat membincangkan perkara ini dengan kerajaan Malaysia, UNHCR, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, organisasi masyarakat sivil, dan wakil Rohingya tidak lama lagi.

Khamis lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat bahawa Selangor mempunyai jumlah pelarian Rohingya terbesar dengan seramai 52,169, dan diikuti Kuala Lumpur, yang mempunyai 27,667 pelarian.

-BTS Media

Leave a Comment