SERAMAI 30 individu terdiri daripada kumpulan sasar di sekitar Sepang, menerima surat kelulusan Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Surat kelulusan bantuan itu disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, baru-baru ini.
Rina berkata bantuan tersebut meliputi Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja, Bantuan Penjagaan OKU/ Pesakit Terlantar, Bantuan Kanak-kanak, Bantuan Warga Emas dan Elaun untuk pekerja OKU.
“Negara kita telah 65 tahun merdeka, namun saban tahun bilangan penerima bantuan JKM terus meningkat.
“Bagi tahun 2020 sejumlah 506,070 penerima bantuan dengan kos RM1.8 billion dibelanjakan. Bagi tahun 2021 sejumlah 519,354 penerima dengan kos RM2.4 billion. Manakala bagi tahun 2022, bilangan penerima bantuan terus meningkat dan sehingga Julai 2022 sahaja, sejumlah 524,462 penerima dengan perbelanjaan sebanyak 1.4 billion sehingga Julai 2022.
“Di negeri Selangor sahaja, terdapat sejumlah 48,162 penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM132.5 juta di mana bagi Daerah Sepang terdapat seramai 2,554 penerima dengan peruntukan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM 7.3 juta,” katanya.
Rina berharap bantuan yang diberikan sedikit sebanyak membantu kelangsungan hidup penerima.
“Besar harapan saya semoga penerima-penerima bantuan ini kelak dapat keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi pelbagai inisiatif program keusahawanan yang dilaksanakan,” katanya.