GAMBAR ATAS: Tasnim News Agency, CC BY 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/4.0>, via Wikimedia Commons.
Oleh Feste KR
Malaysia perlu meningkatkan usaha diplomatik untuk menempatkan pelarian Rohingya di luar negara atau membenarkan mereka bekerja di negara ini, kata Najib Razak.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan menumpukan kepada usaha memberi peluang kepada pelarian Rohingya untuk menyumbang kepada ekonomi buat sementara waktu dan bukannya fokus kepada pengambilan pekerja dari negara lain.
Komen beliau melalui Facebook pada Jumaat (22 April) menyusul berikutan kejadian di mana lebih 500 pelarian Rohingya yang ditahan di depoh sementara imigresen di Kedah melarikan diri pada awal pagi Rabu lepas.
Enam daripada mereka, termasuk kanak-kanak maut setelah dirempuh sebuah kenderaan di lebuh raya ketika cuba menyeberang.
“Tidak adil dan tidak munasabah untuk kita biarkan mereka ditahan bertahun-tahun lamanya,” kata Najib.
“Dari segi kemanusiaan, kerajaan perlu buat sesuatu bagi golongan ini sekiranya UNHCR dan lain-lain negara masih tidak mahu mengambil mereka,” tegas beliau.
Sebelum ini, naib presiden UMNO, Khaled Nordin turut menyentuh tentang kejadian tersebut, dan menyeru kerajaan menunjukkan belas kasihan dan kemanusiaan kepada mereka yang mencari perlindungan di negara ini.
Sementara itu, dalam responsnya sebagai menteri dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian yang diberikan kepada pelarian Rohingya, sambil menambah bahawa kerajaan membenarkan mereka tinggal di sini atas dasar kemanusiaan.
-BTS Media