BTS Media

Menjelang PRU15, CIJ lancar portal pantau ucapan hasutan, pupuk kebencian

Oleh Zainal AS Rashid

PUSAT Kewartawanan Bebas (CIJ) hari ini melancarkan laman web “Katakan Tidak kepada Ucapan Kebencian” pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Pengarah eksekutif CIJ Wathshlah G. Naidu menggalakkan rakyat Malaysia melaporkan sebarang ucapan kebencian melalui portal tersebut, yang bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai ucapan menghasut dan memupuk kebencian, selain menyediakan maklumat tentang bagaimana ucapan sedemikian berlaku dan siapa yang melakukannya.

Beliau berkata ahli politik adalah antara yang sering menggunakan ucapan menghasut dan retorik memupuk kebencian bagi mengawal naratif masing-masing dan mempengaruhi kefahaman umum berhubung isu seperti kaum, agama, institusi raja, jantina dan LGBTIQ, serta pelarian dan pendatang.

Beliau menambah bahawa ucapan sebegitu mengalihkan perhatian daripada pemikiran berfokuskan penyelesaian sambil meningkatkan potensi bahaya terhadap komuniti terpinggir.

CIJ dan badan-badan sehaluan menjangkakan ucapan kebencian dan penyebaran maklumat palsu akan meningkat dalam media sosial semasa PRU15, katanya.

Beliau berkata peningkatan telah diperhatikan berlaku dalam pilihan raya lalu dan apabila terdapat perubahan landskap politik yang mengancam kestabilan kerajaan, seperti yang berlaku pada hari-hari sejurus selepas ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020 dan semasa perintah kawalan pergerakan pandemik Covid-19.

Projek ini bertujuan untuk memantau tahap melampau ucapan kebencian dan untuk membolehkan tindak balas bersama terhadap naratif berasaskan kebencian menjelang dan semasa PRU15, di samping menyediakan saluran bagi orang ramai memberikan respons dengan lebih berkesan.

Portal ini boleh diakses melalui pautan: https://cijmalaysia.net/election-monitoring/about/

-BTS Media

Leave a Comment