GAMBAR ATAS: Antara.
Oleh Fetty Rara
BERPULUH-PULUH Muslim Rohingya yang kelaparan dan lemah ditemui di sebuah pantai di utara Aceh pada Ahad selepas berminggu-minggu berada di laut, kata pegawai Indonesia.
Kumpulan 58 lelaki itu tiba di pantai Indrapatra di Ladong, sebuah perkampungan nelayan di daerah Aceh Besar, awal Ahad, kata ketua polis Rolly Yuiza Away.
Penduduk kampung yang melihat kumpulan etnik Rohingya itu menaiki bot kayu usang telah membantu mereka mendarat dan kemudian melaporkan kepada pihak berkuasa, katanya.
“Mereka kelihatan sangat lemah kerana kelaparan dan mengalami dehidrasi. Ada di antara mereka yang sakit selepas pelayaran yang lama dan amat mencabar di laut,” kata Away, sambil menambah bahawa kesemua mereka diberikan makanan dan air oleh penduduk kampung sementara menunggu arahan lanjut daripada pegawai.
Sekurang-kurangnya tiga mereka dibawa ke klinik kesihatan untuk rawatan segera, manakala yang lain turut diberikan bantuan perubatan, kata Away.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan dunia lain pada Jumaat menggesa negara-negara di Asia Selatan supaya segera bertindak menyelamatkan seramai 190 orang pelarian Rohingya menaiki bot kecil yang hanyut selama beberapa minggu di Laut Andaman, lapor AP.
“Laporan mengatakan bahawa bot yang membawa mereka masih terapung di laut setelah sebulan berlepas dan kini dalam keadaan bahaya, dengan bekalan makanan dan air tidak mencukupi, sementara tiada sebarang usaha kemanusiaan dilakukan oleh negara-negara serantau untuk membantu,” kata agensi pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan.
“Sebahagian besar mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, dan sekurang-kurangnya 20 orang maut di atas bot semasa dalam perjalanan.”
Menurut Away, tidak jelas dari mana kumpulan itu berasal atau sama ada mereka sebahagian daripada kumpulan 190 pelarian Rohingya yang hanyut di Laut Andaman. Tetapi, salah seorang lelaki yang bercakap bahasa Melayu berkata mereka berada di laut selama lebih sebulan dan berhasrat untuk mendarat di Malaysia untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
Setakat ini, lebih 700,000 Muslim Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha untuk mendapat perlindungan di kem pelarian di Bangladesh sejak Ogos 2017.
Mereka berbuat demikian berikutan keganasan tentera Myanmar ke atas orang awam masyarakat Rohingya sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan pemberontak.
Tentera Myanmar sering dilapor melakukan pelbagai jenayah, termasuk merogol secara-besar-besaran, membunuh dan membakar beribu-ribu kediaman etnik Muslim Rohingya.
Bagaimana pun, keadaan sesak di kem pelarian di Bangladesh telah mendorong pelarian itu mengambil risiko belayar merentasi laut untuk mencari kehidupan lebih baik di negara-negara majoriti Islam di rantau ini.
Mereka melihat Malaysia sebagai destinasi terbaik, selain dipengaruhi oleh sindiket penyeludup manusia.
Walaupun Indonesia bukan negara yang mengiktiraf Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951, namun UNHCR berkata Peraturan Presiden 2016 mewajibkan usaha membantu pelarian yang menghadapi kesukaran di perairan Indonesia.
Peruntukan ini telah dilaksanakan sejak bertahun, dan terbaharu pada bulan lalu, apabila kira-kira 219 pelarian Rohingya, termasuk 63 wanita dan 40 kanak-kanak yang menaiki bot usang, diselamatkan di luar pantai daerah Aceh Utara.
“Kami menggesa kerajaan Indonesia menyelamatkan bot dan membenarkan mereka turun dengan selamat,” kata pengarah eksekutif Amnesty International Indonesia Usman Hamid. “Kami juga menggesa kerajaan Indonesia mengetuai inisiatif serantau untuk menyelesaikan krisis pelarian.”
Pada Khamis lepas, pelapor khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar, Tom Andrews, menggesa kerajaan negara-negara di Asia Selatan dan Tenggara “untuk segera menyelaras, mencari dan menyelamatkan bot ini dan memastikan pendaratan selamat pelarian berkenaan sebelum berlaku tragedi.”
“Ketika ramai masyarakat di dunia sedang bersiap sedia untuk menikmati musim cuti dan menyambut tahun baharu, bot yang membawa pelarian lelaki, wanita dan kanak-kanak kecil Rohingya yang terdesak, sedang mengharungi bahaya melakukan perjalanan berisiko sekadar untuk membaiki kehidupan,” kata Andrews dalam satu kenyataan.
-BTS Media