BTS Media

[KEMASKINI] Tengku Zafrul di Abu Dhabi hadiri misi perdagangan, bukan di Qatar

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berada di Abu Dhabi bagi menghadiri misi perdagangan di sana.

Sumber memberitahu Berita Harian, pihak kementerian akan membuat kenyataan rasmi mengenainya esok.

“Beliau tidak berada di Qatar seperti didakwa, bukan untuk menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia. Beliau ke Abu Dhabi atas urusan rasmi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sebelum ini tular di media sosial Tengku Zafrul tidak menghadiri Mesyuarat Khas Kabinet kerana berada di Qatar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra, tiga hari selepas senarai anggota Jemaah Menteri diumumkan Jumaat lalu.

Barisan Kabinet dianggotai 28 menteri termasuk dua timbalan perdana menteri, selain Anwar sendiri memegang portfolio Menteri Kewangan.

Mesyuarat pertama yang dihadiri Jemaah Menteri kecuali Tengku Zafrul itu bermula jam 10 pagi.

Anwar tiba di bangunan Perdana Putra itu pada kira-kira 8.10 pagi sebelum mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan.

Terdahulu tular di media sosial, Tengku Zafrul dikatakan tidak hadir mesyuarat pertama Kabinet Kerajaan Perpaduan pagi tadi kerana dikatakan berada di Qatar.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1035647/tengku-zafrul-di-abu-dhabi-hadiri-misi-perdagangan-bukan-di-qatar

 

Leave a Comment