BTS Media

SPRM dapati Hakim Nazlan tak melakukan kesalahan dalam kes Najib

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang unsur kesalahan jenayah dalam siasatannya terhadap Hakim Nazlan Ghazali, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar memberitahu Dewan Negara SPRM melakukan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan Nazlan mempunyai konflik kepentingan ketika mempengerusikan perbicaraan kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

“SPRM mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan,” kata perdana menteri.

Tambah Anwar, dakwaan Nazlan melanggar Kod Etika Hakim juga juga bukan satu isu kerana Mahkamah Persekutuan sudah membuat keputusan mengenai perkara itu.

Sebelum ini dalam satu surat kepada peguam Najib pada Mac lalu, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata, SPRM merumuskan bahawa hakim itu melanggar Kod Etika Hakim dan ada konflik kepentingan ketika mempengerusikan perbicaraan kes SRC.

Katanya, ini berdasarkan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Feb, yang dipanjangkan kepada beliau oleh agensi itu.

Pada 24 Feb, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa siasatan SPRM terhadap Nazlan dilakukan tanpa mengikut protokol.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan sidang tujuh hakim berkata demikian dalam saman tiga peguam untuk mencabar siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan itu, berhubung dakwaan RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Pada 28 Julai 2020, Nazlan mensabitkan kesalahan Najib atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dalam akaun bekas perdana menteri itu.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Rayuannya kepada Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.

Najib memulakan hukuman penjara pada 23 Ogos tahun lepas, sejurus selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman asal.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/06/19/kes-hakim-nazlan-siasatan-sprm-tak-jumpa-unsur-jenayah-kata-pm/

Leave a Comment