Oleh Zainal AS Rashid
DUA NGO hari ini mengecam kempen pihak tertentu mencemar nama baik Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mensabitkan kesalahan Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), dalam satu kenyataan bersama berkata, kempen memalukan yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu nampaknya direka untuk menjejaskan sistem keadilan dan menjatuhkan maruah badan kehakiman Malaysia.
Menurut kenyataan itu, BERSIH dan GBM percaya kempen fitnah yang dilancarkan terhadap Hakim Nazlan dan sistem kehakiman Malaysia oleh peguam dan sekutu Najib adalah bertujuan untuk menjamin dan mewajarkan Najib mendapatkan pengampunan diraja, justeru membolehkannya dibebaskan daripada penjara.
“Kami dengan rendah hati menyeru Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat Malaysia supaya menolak percubaan seorang penjenayah yang disabitkan kesalahan dan rakan-rakannya untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan dan mencemarkan nama baik badan kehakiman,” kata kenyataan itu.
Kedua-dua NGO NGO itu menambah bahawa Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat harus dibenarkan  memutus sebarang tindakan sewajarnya secara bebas berdasarkan maklumat di hadapannya mengenai dakwaan salah laku kehakiman oleh Nazlan.
Menyentuh mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Nazlan, NGO itu berkata Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengumumkan kepada media pada April 2022 tentang siasatan berterusan terhadap hakim bagi kesalahan rasuah, berikutan dakwaan yang dibuat terhadap Nazlan oleh seorang penulis blog.
Bagaimanapun, Nazlan kemudian memfailkan laporan polis menafikan dakwaan itu dan SPRM mengumumkan pada 29 Sept 2022, bahawa badan itu telah menyelesaikan siasatan dan sedang menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.
Pada Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mengesahkan di Dewan Rakyat bahawa SPRM telah menyerahkan laporan kepada Ketua Hakim Negara mengenai dakwaan pelanggaran Kod Etika Hakim 2009 oleh Nazlan.
Bagaimanapun, sebulan kemudian Azalina menulis kepada peguam Najib mengesahkan bahawa SPRM mendapati wujud konflik kepentingan membabitkan Hakim Nazlan ketika perbicaraan SRC International, dan bahawa beliau telah melanggar Kod Etika Hakim 2009.
“Bersih dan GBM mengingatkan semua rakyat Malaysia bahawa tiada siapa yang berada di atas undang-undang dan pihak berkuasa mesti menyiasat semua dakwaan salah laku yang dilakukan oleh orang awam, walaupun terhadap anggota badan kehakiman.
“Namun, kerana keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia bergantung kepada badan kehakiman yang dibenarkan untuk melaksanakan keadilan secara bebas, dakwaan salah laku tidak boleh dibenarkan dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan atau mencemarkan nama baik badan kehakiman.”
NGO itu berkata protokol muktamad bagi pengendalian penyiasatan terhadap anggota badan kehakiman telah ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan yang memperuntukkan badan penyiasat perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada ketua hakim negara untuk menyiasat mana-mana hakim.
Protokol itu juga menyatakan bahawa kandungan siasatan tidak boleh dihebahkan tanpa kebenaran ketua hakim negara dan keseluruhan kandungan siasatan mesti dirahsiakan pada setiap masa.
“Bersih dan GBM ambil perhatian bahawa daripada fakta yang kini tersedia untuk umum, adalah jelas bahawa tiga daripada empat ketetapan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan telah dilanggar oleh SPRM dan kerajaan.
“Siasatan terhadap Hakim Nazlan dimulakan tanpa berunding dengan ketua hakim negara dan fakta siasatan itu dihebahkan tanpa kebenarannya.
Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa ia ‘petunjuk yang sangat kuat tentang ketiadaan  bona fide (niat baik) dalam penyiasatan jenayah’.
“Malahan, kini kandungan hasil siasatan SPRM telah dihebahkan oleh menteri.”
Bersih dan GBM berkata bahawa SPRM hanya diberi kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah Akta SPRM dan berikutan siasatan sedemikian, ia boleh mengemukakan aduan kepada ketua hakim negara untuk memutuskan sama ada tindakan lanjut perlu diambil di bawah Kod Etika Hakim 2009.
Kedua-dua NGO itu berkata SPRM tidak mempunyai kepakaran atau kuasa untuk memutuskan sama ada hakim yang mempengerusikan perbicaraan jenayah mempunyai konflik kepentingan yang memerlukan dia menarik diri daripada perbicaraan, atau memutuskan sama ada hakim itu telah melanggar Kod Etika Hakim.
Pencerobohan SPRM dalam hal pengurusan perbicaraan kehakiman dan etika kehakiman nampaknya menunjukkan keangkuhan, tidak menghormati dan menghina kebebasan badan kehakiman.
Kedua-dua NGO menggesa diadakan siasatan terhadap tindakan SPRM itu dan berhubung masa penghebahan dibuat sejurus sebelum rayuan akhir SRC Najib di hadapan mahkamah tertinggi tahun lepas.
Bersih dan GBM berkata siasatan sedemikian harus dimulakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
-BTS Media