BTS Media

Mohon maaf kepada keluarga saya, kata anak mangsa maut nahas SUKE

ANAK kepada lelaki maut dalam nahas di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menggesa penunggang motosikal yang menyebabkan kemalangan itu tampil memohon maaf.

Hafidz Ahmad Fadzil, 36, kecewa kerana penunggang motosikal itu melarikan diri dari lokasi kejadian tanpa membantu bapanya, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62.

Beliau juga menuntut penjelasan penunggang motosikal itu tidak menghubungi ambulans.

“Saya kecewa penunggang motosikal itu melarikan diri begitu saja. Semua orang lakukan kesilapan, tetapi sekurang-kurangnya bertanggungjawab dan memohon maaf kepada kami, terutama ibu saya.

Ahmad Fadzil Omar Azzadin meninggal dunia dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya SUKE Rabu lalu.

“Jika penunggang motosikal itu membaca artikel ini, sila tampil mohon maaf kepada ibu saya,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, motosikal Ducati ditunggang Fadzil hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan ketika cuba mengelak sebuah motosikal melawan arus. Fadzil tercampak dan terjatuh dari jejambat lebuh raya.

Kemalangan itu dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) yang kemudian dikongsi di media sosial.

Hafidz mengucapkan terima kasih atas doa dan ucapan takziah orang ramai, tetapi merayu pengguna media sosial lebih peka dan henti berkongsi sebarang gambar serta klip video nahas itu.

Polis giat mengesan penunggang motosikal yang menyebabkan nahas itu, dengan Ketua Polis Ampang Jaya, Azam Ismail menggesa pihak mempunyai maklumat kes menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat trafik Ampang Jaya, Yusaiful Muhamat Basir di 011 13078348.

Semalam, Azam dilaporkan berkata, bedah siasat menunjukkan punca kematian sebagai “kecederaan pelbagai akibat kemalangan jalan raya” dan rakaman CCTV nahas itu dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/06/17/mohon-maaf-kepada-keluarga-saya-kata-anak-mangsa-maut-nahas-suke/

Leave a Comment