BTS Media

Selangor cadang haram kedai haiwan peliharaan jual kucing, anjing tidak lama lagi

PENJUALAN kucing dan anjing oleh kedai haiwan peliharaan akan diharamkan di negeri Selangor.

Cadangan itu adalah bertujuan untuk menggalakkan orang ramai mengambil haiwan peliharaan dari pusat perlindungan, kata pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan, pengangkutan awam dan pembangunan kampung baharu Selangor, Ng Sze Han.

“Kami masih dalam proses memuktamadkan rancangan untuk melarang semua kedai haiwan peliharaan di negeri ini daripada menjual kucing dan anjing.

Bagaimana pun, beliau berkata kedai haiwan peliharaan boleh menjual makanan haiwan.

“Di kawasan saya di Kinrara, kami mempunyai program pengambilan haiwan peliharaan mingguan di luar pusat beli-belah IOI dan kira-kira 20 haiwan peliharaan diambil setiap bulan.

“Jika semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan program sebegini kita boleh membantu mengurangkan kadar pembuangan haiwan peliharaan,” katanya pada Forum Pengurusan Anjing Terbiar Selangor 2023 di Subang Jaya, lapor The Star.

Selain itu, kerajaan Negeri Selangor mengesyorkan semua PBT menggunakan kaedah menjaring untuk menangkap anjing.

Tambahnya, kaedah gelung masih boleh digunakan sekiranya anjing liar berada di lokasi sukar seperti di bawah kenderaan, lubang kecil atau longkang.

Forum itu dihadiri wakil semua majlis tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili kumpulan haiwan di Selangor.

“Kaedah menjaring adalah inovasi Majlis Daerah Sabak Bernam dan merupakan cara yang lebih berperikemanusiaan untuk menangkap anjing.

“Kaedah gelung masih boleh digunakan apabila perlu kerana ia dibenarkan mengikut peraturan menangkap anjing yang ditetapkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata kerajaan Selangor kini di peringkat akhir untuk melancarkan Pusat Perlindungan Haiwan bertaraf antarabangsa di sebidang tanah seluas 1.2 hektar.

Ng tidak menyebut lokasi sebenar pusat perlindungan itu, tetapi berkata ia di sempadan Subang Jaya berdekatan Cyberjaya.

“Tempat perlindungan ini adalah untuk kucing dan anjing, dan mempunyai taman anjing. Ia juga akan menjadi hab pendidikan untuk orang ramai mengetahui lebih lanjut tentang haiwan terbiar.

“Kita memerlukan kesedaran dan pendidikan berterusan tentang haiwan terbiar. Sesetengah orang tidak faham mengapa seekor haiwan gelandangan dikembalikan ke lokasi yang sama selepas ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan,” kata Ng.

Beliau menambah dalam kes ini, anjing akan dimandulkan dan kemudian dilepaskan.

Sehingga akhir bulan Mei, Majlis Bandaraya Subang Jaya merekodkan 1,000 kes aduan orang ramai mengenai anjing, manakala Majlis Daerah Sabak Bernam merekodkan 3,000 aduan awam mengenai anjing pada tahun 2022.

Pada forum tersebut, pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili kumpulan haiwan meminta pihak berkuasa menyediakan lebih banyak dana untuk program pemandulan.

-BTS Media

Leave a Comment