GAMBAR ATAS: Sinar Harian.
PAS berpendirian tiada sebab untuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dikenakan tindakan berhubung kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan tersebut tidak menjadi kesalahan.
Sebaliknya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memutar belit kenyataan itu merupakan sesuatu yang tidak wajar.
“Ini bukan perkara baharu. Jika tengok rekod, pada 2017 seorang exco kerajaan negeri Kedah (bawah BN) pernah mengeluarkan kenyataan sama.
“Perkara ini sudah jadi perbahasan akademik di pelbagai peringkat.
“Bagi PAS, kita sokong apa yang MB Kedah sebut untuk dibuat kajian dan penyelesaian agar menokhtahkan perkara ini,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Ahli Parlimen PN di Kuala Lumpur pada Isnin.
Takiyuddin berkata, PAS akan mempertahankan isu tersebut pada Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.
“Tengok soalan esok,” katanya.
Menurut kertas Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) pada Selasa, isu kenyataan Sanusi bahawa Pulau Pinang milik Kedah akan bangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan).
Dalan soalan pertama PMQT, Guan Eng bertanyakan apakah tindakan kerajaan ke atas Sanusi bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah.
Guan Eng dalam soalan itu berkata, kenyataan tersebut telah memecahbelahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.
Kenyataan dikeluarkan Sanusi bahawa Pulau Pinang milik Kedah telah menimbulkan pertikaian ramai khususnya pemimpin-pemimpin kerajaan Pulau Pinang.
Pada Khamis, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut membuat laporan terhadap Sanusi berhubung dakwaan berkenaan.