Oleh Fetty Rara
TIGA penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera parah selepas kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk merempuh mereka di Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemandu kereta itu hilang kawalan di KM19.6 NKVE sebelum merempuh enam penunggang motosikal pada kira-kira pukul 5.59 pagi Ahad (4 Jun).
Beliau berkata semua penunggang motosikal itu sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat.
“Tiga penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala tiga lagi dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (4 Jun).
Pemandu kereta lelaki berusia 26 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
“Paras alkohol dalam darah pemandu melebihi had yang dibenarkan.
“Ketika kejadian, dia memandu ke Cyberjaya dari Kuala Lumpur.
“Kami menggesa mereka yang melihat kejadian atau berada di tempat kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat Trafik Insp R. Navalan di talian 014-253 6820 bagi membantu siasatan,” katanya.
-BTS Media