BTS Media

AGC perlu lebih masa semak permohonan Irwan batal kes pecah amanah RM6.6 bilion

GAMBAR ATAS: https://en.wikipedia.org/wiki/Mohd_Irwan_Serigar_Abdullah/Najib Razak.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

JABATAN Peguam Negara (AGC) memohon lebih masa untuk membatalkan kes pecah amanah jenayah RM6.6 bilion membabitkan Mohd Irwan Serigar Abdullah

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi hari ini meminta mahkamah memberikan tarikh lain bagi pengurusan kes, lapor NST.

“Saya menerima arahan daripada Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun untuk meminta tarikh lain bagi pengurusan kes pada September.

“Jumlah yang terlibat dalam kes ini terlalu besar…kita memerlukan lebih masa untuk menyemak surat representasi daripada tertuduh,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin.

Irwan didakwa bersama Najib Razak atas tuduhan pecah amanah membabitkan RM6.6 bilion dana kerajaan untuk pembayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017.

Enam pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu kerana pecah amanah oleh penjawat awam atau ejen yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah permohonan itu.

Bagaimanapun, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Irwan, meminta mahkamah menetapkan tarikh awal pada Julai, dengan menyatakan kes itu belum selesai walaupun sudah  lima tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Ogos untuk pengurusan kes seterusnya.

Pada 3 April, Saifuddin memberitahu mahkamah bahawa AGC telah menerima surat representasi baharu daripada Irwan supaya pertuduhan terhadapnya dikaji semula.

Beliau berkata peguambela telah mengemukakan banyak perkembangan baharu yang memerlukan pihak pendakwaan mengesahkannya sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada 27 Feb, Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) dan Aabar Investments PJS bersetuju membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ini berikutan penyelesaian dicapai antara pihak berkenaan berhubung pertikaian 1MDB.

-BTS Media

Leave a Comment