BTS Media

Ban pecah: Pekan Tanjong Karang dinaiki air

 

Oleh Zainal AS Rashid

PEKAN Tanjong Karang, Selangor dinaiki air sedalam satu meter setelah ban pecah pada kira-kira pukul 4.00 pagi Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata sejurus menerima maklumat, sebuah jentera bersama anggota dan bot dari Balai Bomba Tanjong Karang dihantar ke lokasi.

“Ban pecah di kawasan Pekan Tanjong Karang dan berlaku limpahan air sungai ke kawasan sekitar pada kedalaman 0.5 meter.

“Limpahan air tidak melibatkan rumah penduduk setakat ini dan tiada pemindahan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pada pukul 5.24 pagi air dilaporkan naik hingga ke paras satu meter di sekitar pasar Tanjong Karang.

Pasukan penyelamat memindahkan seorang warga emas berusia 70 tahun ke rumah jiran berdekatan kerana rumahnya dinaiki air.

“Pada pukul 5.45 pagi, ketua operasi melaporkan telah memindahkan sebuah keluarga berusia lingkungan empat hingga 70 tahun ke rumah jiran.

Air mula surut pada pukul 6.30 pagi dan pihak bomba terus memantau keadaan kawasan sekitar.

-BTS Media

Leave a Comment