Oleh Yusoff A. Shariff
BEKAS ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Ab Hamid dibebaskan penuh oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dalam kes pecah amanah RM50.4 juta membabitkan dana kerajaan.
Dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi pada April tahun lalu bagi kes tersebut.
Hari ini (Selasa 9 Ogos), Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain membenarkan permohonan Hasanah untuk mengubah perintah mahkamah daripada DNAA kepada pembebasan penuh setelah pihak pendakwaan, yang diwakili oleh timbalan pendakwa raya Fairuz Johari, tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Di bawah undang-undang, tertuduh yang diberikan DNAA masih boleh didakwa bersabit pertuduhan sama.
Bagaimanapun, pihak hakim memutuskan bahawa DNAA yang telah lebih setahun itu “tidak adil” kepada tertuduh.
Hasanah didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara lebih 20 tahun, sebat dan denda.
-BTS Media