Oleh Zainal AS Rashid
MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini berkata pihak pengendali aplikasi Telegram “tidak mahu bekerjasama” dengan kementerian, walaupun diminta untuk berbincang sejak Januari.
Fahmi berkata, kementeriannya menerima banyak aduan berhubung penyalahgunaan platform itu seperti penipuan, pornografi dan penjualan dadah, lapor malaymail.com.
“Saya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melihat apakah keputusan sewajarnya yang perlu dibuat.
“Ini kerana kami menerima banyak aduan, dan kami tidak nampak keikhlasan di pihak Telegram untuk bekerjasama,” katanya kepada media selepas pelancaran logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Fahmi, kebanyakan platform media sosial lain, seperti TikTok, Facebook dan Twitter, memberikan kerjasama dengan kementerian.
Beliau berkata walaupun negara lain mempunyai masalah dengan TikTok berhubung keselamatan siber, Malaysia tidak berkongsi pandangan yang sama.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, tidak perlu mengikut jejak langkah negara lain dan kita berhak membuat keputusan sendiri berdasarkan fakta dan penilaian yang dibuat oleh agensi kita,” katanya.
Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital, dengan agensi seperti SKMM dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), sentiasa memerhati dan meneliti perkembangan isu keselamatan siber, termasuk di media sosial.
“Sebenarnya Telegram adalah yang sangat membimbangkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan masih mengkaji peruntukan yang perlu dimasukkan dalam RUU Majlis Media Malaysia yang dicadangkan.
“Industri media di Malaysia menghadapi tekanan dari segi ekonomi… ini memberi impak kepada kebajikan wartawan, dan aspek ini sedang diberi perhatian oleh kerajaan.
“Saya berharap kita akan dapat membuat beberapa pengumuman tidak lama lagi mengenai isu dasar berkaitan perkara ini,” katanya.
-BTS Media