BTS Media

Jawapan kepada dakwaan Muhyiddin juga pernah ajak rakyat sokong DAP

 

Oleh Yusoff A. Shariff

TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ahmad Faizal Azumu berkata partinya bekerjasama dengan DAP pada pilihan raya umum ke-14 “untuk menyelamatkan negara” dan bukan seperti yang dilakukan oleh UMNO sekarang.

Bekas Menteri Besar Perak itu memberitahu Free Malaysia Today bahawa pendirian UMNO sekarang bertentangan dengan slogan “No Anwar, No DAP” yang diperkenalkan oleh presiden parti Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan agung tahunan pada 2021.

“Sejarah menunjukkan bahawa beberapa keputusan yang dibuat demi mengelakkan kemudaratan lebih besar kepada negara, memerlukan (pihak lawan) bekerjasama.

“Itulah yang Bersatu lakukan ketika ia mula-mula ditubuhkan. Kami bekerjasama dengan DAP, Amanah dan PKR untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi Najib,” Faizal dipetik berkata.

Faizal berkata keputusan UMNO itu telah menyinggung perasaan pengundi Melayu yang berharap UMNO akan mempertahankan hak mereka.

“(Ahli-ahli ini) juga mengharapkan perubahan semasa pemilihan parti, tetapi itu tidak berlaku. UMNO kini menjadi parti yang dikuasai oleh seorang dua pemimpin yang menentukan hala tujunya,” katanya.

Bersatu yang ditubuhkan pada 2016 diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyertai Pakatan Harapan (PH) selepas beberapa bulan.

Penarikan diri daripada gabungan itu memainkan peranan besar dalam kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020 yang seterusnya membawa kepada pembentukan kerajaan baharu di bawah presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan berikutnya.

-BTS Media

Leave a Comment