BTS Media

Majikan tidak dapat penuhi harapan gaji tinggi graduan baharu

Oleh Zainal AS Rashid

KEBANYAKAN graduan baharu celik teknologi, tetapi mereka mengharapkan gaji tinggi.

Harapan sedemikian mungkin sukar dipenuhi oleh majikan, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

“Graduan baharu perlu bersedia untuk menyesuaikan jangkaan bagi mendapatkan gaji permulaan, mengkaji semula keutamaan dan matlamat diri sebelum memulakan perjalanan dalam kerjaya mereka,” kata presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, lapor The Star.

Tambahnya, purata gaji permulaan bagi graduan berkelulusan kepujian adalah kira-kira RM2,700.

“Jika jangkaan gaji mereka terlalu tinggi, majikan mungkin tidak mempunyai keupayaan untuk membayar dan disebabkan itu mereka tidak akan dipilih untuk bekerja,” katanya.

Menurut portal perkhidmatan pekerjaan nasional MYFutureJobs Kementerian Sumber Manusia, terdapat 729,314 kekosongan antara 1 Jan dan 14 April 2023.

Kira-kira 60 peratus daripada kekosongan menawarkan gaji antara RM1,500 dan RM1,999, manakala 11.4 peratus menawarkan kurang daripada RM1,500, dengan 15 peratus menawarkan antara RM2,000 dan RM2,999, dan 4.8 peratus antara RM3,000 dan RM3,999.

Dari segi kelayakan, 76.4 peratus terdiri daripada mereka yang memiliki SPM atau kurang, 23.5 peratus adalah pemegang diploma dan 10.3 peratus pemilik ijazah.

Kebanyakan pencari kerja di portal itu berumur antara 20 dan 25 tahun (37 peratus), dan pemilik ijazah (31 peratus).

Syed Hussain berkata, kebanyakan graduan baharu bersedia untuk belajar dan membuktikan keupayaan, sambil membawa perspektif dan idea baharu.

“Bagaimanapun, mereka memerlukan latihan kerana kurang kemahiran dan pengalaman,” katanya.

Beliau berkata graduan baharu perlu sedar dan memahami realiti pasaran kerja yang kompetitif hari ini.

“Mereka harus mengambil kira sama ada kemahiran yang mereka miliki sepadan dengan keperluan industri, seperti kemahiran insaniah dan digital,” katanya.

Syed Hussain berkata graduan baharu sepatutnya mengutamakan usaha mencari apa jua pekerjaan, sama ada sepenuh masa atau separuh masa bagi mendapatkan pengalaman dan kemahiran yang diperlukan.

“Graduan baharu juga boleh mendapatkan pengalaman bekerja melalui program bimbingan, sukarelawan dan kerja bebas,” katanya.

The Star turut memetik pengarah urusan JobStreet Malaysia Vic Sithasanan berkata bahawa graduan baharu yang mencari pekerjaan mungkin menghadapi persaingan sengit kerana kekurangan pengalaman dan kemahiran.

“Graduan baharu selalunya boleh dimampukan oleh majikan, selain fleksibel dan bermotivasi, tetapi mereka mungkin memerlukan lebih banyak masa dan wang untuk dilatih,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata graduan baharu mempunyai kemahiran terkini yang mungkin memanfaatkan syarikat.

“Kelebihan lain ialah pekerja yang mempunyai sedikit atau tiada pengalaman tidak Dipengaruhi tabiat lama, justeru pihak majikan boleh membimbing mereka mengikut keperluan kerja,” tambahnya.

Sithasanan menasihatkan graduan supaya tidak menaruh harapan tinggi yang tidak realistik apabila cuba mendapatkan pekerjaan.

“Optimisme satu hal, tetapi mempunyai aspirasi yang terlalu tinggi dan tidak realistik tidak akan membawa apa-apa manfaat semasa memohon pekerjaan pertama.

“Ambil kira gaji asas untuk pekerjaan peringkat permulaan dan kedudukan yang bergantung pada tempoh perkhidmatan.

“Aspek-aspek ini biasanya akan menentukan kadar gaji yang boleh mereka jangkakan.

Sithasanan berkata personaliti graduan juga mesti sesuai. Menurut laporan Jobstreet 2022-2023 Outlook on Hiring, Compensation and Benefits, majikan lebih menumpukan pada prestasi temu duga graduan baharu, bidang pengajian dan sikap yang ditunjukkan semasa penilaian untuk memilih calon.

-BTS Media

Leave a Comment