BTS Media

Pulau Pangkor : Amaran ombak besar, aktiviti laut ditangguh

AKTIVITI rekreasi dan sukan laut di kawasan pantai sekitar Pulau Pangkor dihentikan buat sementara waktu susulan keadaan laut bergelora dipercayai kesan Siklon Mocha.

Keadaan itu dikongsi penduduk setempat menerusi beberapa rakaman video menunjukkan laut bergelora dengan ombak lebih besar daripada biasa hingga menghempas ke laluan pejalan kaki.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, keadaan ombak besar paling ketara berlaku di Pantai Teluk Nipah sejak empat hari lalu, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, keadaan itu disebabkan cuaca fasa peralihan monsun Barat Daya.

“Dalam fasa peralihan ini, beberapa tempat akan menerima tiupan angin yang meningkatkan potensi kejadian ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang dalam masa yang singkat.

“Atas faktor keselamatan, sebarang aktiviti sukan air di kawasan Pangkor ini dihentikan sementara dan orang ramai telah dinasihati tidak menjalankan aktiviti di kawasan pantai terutama berlakunya ombak besar,” katanya.

“Bendera merah juga telah dinaikkan sebagai peringatan berjaga-jaga kepada orang awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Muhammad Shukur Jamaludin berkata, setakat ini keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian kecemasan di air.

Katanya, pemantauan ketat telah dilakukan di kawasan tumpuan ramai di sekitar Pantai Teluk Nipah dan Pasir Bogak bagi memastikan keselamatan pengunjung.

“Bagi mereka yang berada berhampiran air, dinasihatkan untuk sentiasa memakai jaket keselamatan,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama untuk perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selat Melaka Utara.

Jangkaan angin kencang barat laut 40 hingga 50 kilometer km/j dengan ombak mencecah sehingga 3.5 meter berlaku di kawasan perairan berkenaan dan berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Baca lagi: https://www.sinarharian.com.my/article/258539/edisi/perak/ombak-besar-pulau-pangkor-tangguh-aktiviti-laut

Leave a Comment