BTS Media

Laporan polis untuk bersih nama Hamzah dikaitkan dengan kes rasuah

GAMBAR ATAS: Astro Awani.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

LAPORAN polis telah dibuat bagi membersihkan nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikaitkan dalam kes rasuah.

Setiausaha Sulit Hamzah Ahmad Ikhwan Fadhli berkata laporan itu juga dibuat bagi menggesa polis menyiasat pihak yang didakwa mempengaruhi agensi kerajaan untuk mengait dan mencemarkan nama baik Hamzah.

Namanya dimasukkan secara salah dalam pertuduhan untuk menjadikannya seolah-olah beliau terlibat dalam kesalahan itu.

“Beliau (Hamzah) tidak tahu pun mengenai projek yang disebut dalam pertuduhan itu,” katanya kepada media selepas membuat laporan di ibu pejabat polis Dang Wangi di Kuala Lumpur pada Jumaat (12 Mei).

Ikhwan menggesa polis menyelesaikan perkara itu supaya agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak terpengaruh dengan pihak luar.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mempersoal tindakan mengaitkan nama Hamzah dalam kes yang telah dituduh di mahkamah.

“Isu sebenar, mengapa SPRM sekali lagi menggunakan kuasa mereka mengaitkan individu dan pimpinan Bersatu yang tidak ada kena mengena dengan pendakwaan ke atas seorang usahawan tersebut.

Beliau berkata, ini kerana pendakwaan dibuat di mahkamah, dan difahamkan kelmarin bahawa SPRM baru  ambil keterangan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Dakwa dah, baru nak ambil keterangan, ini apa cerita?” soal beliau.

“Jadi kami nampak  ini adalah satu political assassination yang dibuat terhadap kepimpinan Bersatu kerana kepimpinan Anwar Ibrahim takut tumbang dan kalah teruk di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Dalam catatan Facebook pada Rabu (10 Mei) berikutan empat pertuduhan rasuah terhadap ahli perniagaan Datuk Seri Sim Choo Thiam, bekas menteri dalam negeri itu berkata pelik namanya disebut ketika itu.

“(Dalam) pertuduhan dinyatakan bahawa rasuah itu adalah untuk ‘mendapatkan mana-mana projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri’. Jadi, projek apa yang kini menjadi perkara rasuah, yang dirujuk?” Hamzah berkata.

-BTS Media

Leave a Comment