BTS Media

Pulangkan wang tak dituntut kepada pemilik sah, kata Lee Lam Thye

Oleh Zainal AS Rashid

SEJUMLAH RM11 bilion wang milik rakyat masih belum dituntut setakat bulan lepas, dan is harus dikembalikan kepada pemilik yang sah, kata Tan Sri Lee Lam Thye.

Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat itu berkata wang terhutang kepada orang ramai oleh syarikat-syarikat telah diserahkan kepada Jabatan Akauntan Negara, yang merupakan penjaga di bawah Akta Wang Tidak Dituntut 1965.

“Wang tidak dituntut adalah daripada akaun bank yang dilupakan, cek tidak ditunai, polisi insurans dan deposit.

“Namun, jumlah besar ini tidak terbiar. Kerajaan telah melabur dalam simpanan tetap dan faedah yang diperoleh digunakan untuk rakyat, menurut Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu (6 Mei).

Lee berkata segala usaha mesti dibuat untuk memulangkan wang kepada pemilik yang sah, terutamanya pada masa nilai ringgit yang semakin menyusut dan peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, orang ramai boleh bertanya sama ada mereka mempunyai wang yang disimpan oleh pejabat Akauntan Negara dengan membuat semakan di portal eGumis dan mengemukakan tuntutan mereka.

Lee berkata, adalah jelas bahawa sebilangan besar orang masih belum membuat tuntutan bukan kerana putus asa, kurang minat atau berlengah-lengah, tetapi kerana kejahilan disebabkan kurang publisiti.

Terpulang kepada penjaga wang itu untuk bertindak proaktif bagi menyedarkan orang ramai bahawa masih terdapat sejumlah wang yang sememangnya milik mereka hasil jerih payah sendiri, keluh Lee.

Beliau berkata, pihak berwajib sepatutnya boleh menubuhkan pejabat di serata negara dan menempatkan pegawai untuk membantu pemohon menyelesaikan proses.

“Mempermudah dan mempercepatkan prosedur eGumis untuk manfaat mereka dalam kumpulan B40 juga akan membantu,” tambahnya.

Lee berkata memulangkan wang yang tidak dituntut mungkin rumit, dan langkah-langkah khusus bergantung pada jenis wang yang tidak dituntut, lapor The Star.

“Mereka berhak untuk membuat tuntutan mesti dibantu.

Dalam hal ini beliau berkata adalah penting bagi orang ramai mempunyai pengetahuan dan berusaha gigih untuk mendapatkan wang milik mereka.

-BTS Media

1 comment

masrozaini mustapha May 8, 2024 at 3:55 pm

dah banyak kali kami memohon
tiada tindak balas

Reply

Leave a Comment