BTS Media

Dong Zong gesa kerajaan henti kenyataan UMNO mengenai dana untuk sekolah Cina

Oleh Fetty Rara

DONG Zong mempertahankan peruntukan RM15.7 juta yang diberikan kepada sekolah persendirian Cina, dan menggesa kerajaan menghentikan kenyataan seperti yang dibuat oleh Pemuda UMNO.

Sebelum ini, Pemuda UMNO membandingkan peruntukan itu dengan dana untuk pusat pendidikan Islam.

Timbalan presiden Dong Zong, Tan Yew Sing berkata jumlah itu hampir sama dengan yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini, lapor Malaysianow.

Beliau juga berkata jumlah perbelanjaan bagi 63 sekolah persendirian Cina itu berjumlah kira-kira RM400 juta.

“Jumlah kutipan bayaran kami ialah RM360 juta,” katanya.

“Dengan subsidi kerajaan sebanyak RM15 juta, masyarakat Cina masih perlu mendapatkan RM25 juta bagi perbelanjaan operasi. Tambahan pula, perbelanjaan untuk pembangunan sahaja berjumlah RM100 juta setahun.”

Peruntukan RM15.7 juta itu dipersoalkan Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh, yang berkata jumlah diterima setiap sekolah adalah dua kali ganda daripada yang diperuntukkan untuk institusi pendidikan Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut menggesa kerajaan supaya menyerap sekolah Cina ke dalam sistem pendidikan negara sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan.

Peruntukan itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke selepas permohonan oleh Dong Zong untuk mendapatkan pembiayaan khas.

Presiden bahagian Dong Zong Selangor dan Kuala Lumpur Chua Kim Boon, menuduh Akmal menggunakan isu itu untuk politik.

Beliau berkata, kerajaan harus mengambil tindakan tegas membendung atau menghentikan semua kenyataan sebegitu, sama ada bagi meraih undi atau untuk menghasut sentimen perkauman untuk politik.

Tan dalam pada itu berkata adalah adil bagi kerajaan untuk memberi subsidi perbelanjaan operasi pendidikan sepenuhnya kerana masyarakat (Cina) menyediakan pendidikan asas bagi pihak kerajaan.

“Kami tidak ada masalah apabila kerajaan menawarkan lebih banyak subsidi kepada institusi agama,” tambahnya.

“Kerajaan mesti mempunyai asas sendiri untuk peruntukan subsidi.”

-BTS Media

Leave a Comment