Oleh Yusoff A. Shariff
AUSTRALIA hari ini mengetatkan undang-undang e-rokok, termasuk memperkenalkan kawalan baharu ke atas import dan pembungkusan bagi menghapuskan vape. terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Ia merupakan tindakan keras terhadap industri tembakau dalam lebih sedekad.
Kerajaan persekutuan Australia akan bertindak untuk mengharamkan semua vape pakai buang dan import vape bukan preskripsi, menyekat perisa dan warna, mengurangkan tahap nikotin yang dibenarkan, dan sebaliknya menyasarkan penjualan vape hanya sebagai produk menghentikan tabiat merokok, lapor Reuters memetik ucapan Menteri Kesihatan Mark Butler di Kelab Wartawan Kebangsaan negara itu.
Di bawah peraturan baharu, vape perlu mempunyai pembungkusan jenis farmaseutikal.
Australia mempunyai antara undang-undang anti-merokok paling keras di dunia selepas negara itu pada 2012 memaksa pengeluar tidak menggunakan penjenamaan berwarna-warni menarik, dan sebaliknya menjual rokok dalam paket tanpa perhiasan.
Susulan tindakan itu, firma tembakau telah bertukar kepada e-rokok yang menawarkan perisa berbeza dan reka bentuk yang dicipta menyasarkan generasi pengguna baharu.
-BTS Media