BTS Media

Amanah tetap tak sokong pengampunan Najib, walaupun UMNO tak puas hati

PENGARAH Komunikasi Amanah meminta maaf jika rayuannya agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak permohonan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak telah menyebabkan Umno tidak puas hati.

Khalid berkata ia hanyalah soal perbezaan pandangan dalam perkara itu dan dia memohon maaf kerana tidak memiliki pendirian yang sama dengan Umno.

“Kita tidak serang atau kritik Umno, kita hormat hak mereka untuk buat permohonan pengampunan. Itu hak mereka dan mereka boleh berbuat demikian, tiada isu.

“Malangnya mereka nak jadikannya sebagai isu. Saya minta maaf kerana buat mereka tak puas hati, tetapi ini pendirian Amanah.

“Jadi kita mohon maaf kerana tidak berpendirian sama (dalam perkara itu),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehari selepas Khalid mengeluarkan kenyataan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak agar berhenti memberi ulasan “tidak sepatutnya” berhubung isu tersebut dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Agong.

Hari ini pula, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kenyataan itu menunjukkan Amanah tidak layak menjadi “sahabat perjuangan” dan tidak memberi jaminan kerajaan persekutuan boleh terus bertahan.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/663636

Leave a Comment