Oleh Yusoff A. Shariff
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa UMNO terlibat dalam tekanan politik berhubung keputusan memohon pengampunan penuh diraja untuk Najib Razak.
Beliau berkata terpulang kepada Lembaga Pengampunan untuk mengambil kira dan membenarkan permohonan UMNO untuk bekas presiden parti itu.
Katanya, terdapat prosedur tertentu yang perlu dipatuhi membabitkan proses memberikan pengampunan penuh.
Muhyiddin berkata sesiapa sahaja boleh memohon (kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pemberian pengampunan penuh), tetapi apa yang UMNO buat adalah mengamalkan tekanan politik.
“Terpulang kepada Lembaga Pengampunan untuk memutuskan sama ada akan mempertimbangkan permohonan itu atau sebaliknya,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat pimpinan PN Kelantan di Pasir Putih malam tadi.
UMNO baru-baru ini mengumumkan bahawa parti itu akan merayu belas ihsan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pemberian pengampunan penuh diraja kepada Najib mengikut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan .
Setiausaha Agung parti Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu telah dibincangkan, diputuskan dan dipersetujui apabila Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat bulanannya pada Jumaat (7 April).
Naib Presiden UMNO Mohamed Khaled Nordin berkata permintaan sedemikian tidak akan menjejaskan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan.
Khaled, yang juga Menteri Pengajian Tinggi, berkata parti itu memutuskan untuk membuat permohonan itu semata-mata untuk kononnya menunjukkan penghargaan dan terima kasih kepada Najib di atas kepimpinan sembilan tahun beliau.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengesahkan beliau akan terlibat dalam proses menilai permohonan UMNO untuk memberikan pengampunan penuh diraja kepada Najib.
Muhyiddin enggan mengulas apabila ditanya mengenai penglibatan Anwar dalam proses itu.
“Saya tidak boleh mengulas mengenai perkara itu memandangkan perkara tersebut berdasarkan Perlembagaan (Persekutuan) dan undang-undang negara,” kata ahli parlimen Pagoh itu.
-BTS Media