Oleh Yusoff A. Shariff
HUKUMAN mati terhadap warga Singapura Tangaraju Suppiah awal pagi ini kerana kesalahan bersabit 1017.9g ganja mendapat kritikan dan kecaman daripada kumpulan hak asasi
Rangkaian anti hukuman mati Asia (ADPAN) dalam satu kenyataan merujuk kepada satu lagi kes di mana individu yang dikenali sebagai Mogan Valo, didakwa dengan kesalahan pemilikan lebih ringan bersabit niat mengedar 499.99g ganja.
“Tiga individu lain pada mulanya didakwa dengan pertuduhan yang sama seperti Tangaraju tetapi telah dilepas tanpa dibebaskan.
“Sehingga kini, tidak ada penjelasan mengenai percanggahan yang disabitkan pada Mogan Valo dan jumlah ganja yang jauh lebih tinggi dalam kes Tangaraju.
“Warga Singapura Tangaraju Suppiah, 46, menjalani hukuman mati hari ini di Kompleks Penjara Changi,” kata jurucakap Perkhidmatan Penjara Singapura kepada AFP.
ADPAN menambah bahawa terdapat kemungkinan berlaku percanggahan semasa perbicaraan dan rayuan kerana Tangaraju telah dilucutkan representasi undang-undang.
“Dia terpaksa memfailkan rayuannya sendiri tanpa sebarang akses kepada peguam untuk hadir bagi pihaknya. Dalam hal ini, badan kehakiman Singapura telah membenarkan rayuannya diteruskan tanpa representasi undang-undang yang sewajarnya dengan tidak menghiraukan hak Tangaraju untuk perbicaraan yang adil.”
Menurut ADPAN, keadaan ini mengesahkan tanggapan semakin ketara bahawa hukuman mati di Singapura melanggar undang-undang antarabangsa dan “mempersoalkan kesahihan” sistem keadilan jenayah negara itu.
-BTS Media