ALOR SETAR: Acara Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri yang akan diadakan di enam negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN), dianggap sebagai program kempen dan tidak wajar diadakan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menyifatkan program itu akan membabitkan kos yang tinggi, sedangkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini menggalakkan langkah penjimatan dibuat semua pihak.
Beliau berkata, jamuan rumah terbuka Aidilfitri untuk rakyat itu sewajarnya diadakan di satu saja lokasi iaitu Seri Perdana yang juga kediaman rasmi Perdana Menteri atau di sekitar Putrajaya seperti kelaziman sebelum ini.
“Ini program kempen pilihan raya bukan rumah terbuka tetapi ambil kesempatan daripada Aidilfitri, apa program sesuai nak buat kempen? Maka buat rumah terbuka.
“Kita bukan nak halang buat rumah terbuka kepada orang ramai tetapi sebagai kerajaan yang cakap tentang langkah jimat cermat, tak payah buat program besar-besar, itu bertentangan dengan diri mereka sendiri,” katanya.
Beliau memberitahu media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Aidilfitri Mahasiswa bersama Menteri Besar Kedah di Dewan Sri Mentaloon di sini hari ini.
Sanusi berkata, pembabitan beberapa kementerian kerajaan dalam penganjuran program terbabit juga tidak sepatutnya berlaku.
“Enam negeri ini saya sudah maklum lama guna kementerian seperti di Kedah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlibat.
“Kenapa guna kementerian untuk rumah terbuka, kementerian pun tidak ada bajet khusus untuk buat rumah terbuka,” katanya.
Walaupun sebelum ini penganjuran Rumah Terbuka Malaysia MADANI itu dinafikan bermotif politik, namun Sanusi menegaskan, orang ramai boleh menilai sendiri tindakan menganjurkan majlis berkenaan.
“Semua tindakan politik ini pergi pada peti undi. Rakyat akan nilai hang (kamu) guna dana kerajaan, dana kementerian buat program kempen pilihan raya untuk parti hang, itu tak betul,” katanya.
Sanusi berkata, beliau tiada kuasa untuk menghalang rumah terbuka itu diadakan di Kedah, malah akan turut hadir bersama.
“Saya tidak ada kuasa nak halang, lagipun bagus untuk rakyat Kedah pi makan. Saya tak tau ada jemputan atau tak, tapi itu rumah terbuka, jemput atau tak saya akan hadir sebagai orang Kedah,” sinisnya.
Sementara itu di Kuala Lumpur, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, dalam kenyataannya menjemput orang ramai menghadiri siri Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI anjuran Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri yang bakal diadakan di beberapa lokasi seluruh negara.
Di Kedah, acara Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI itu akan diadakan di Hotel Raia, Alor Setar, antara jam 10 pagi hingga 2 petang pada 29 April ini.
Di Pulau Pinang, acara itu akan diadakan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, mulai jam 11 pagi hingga 2 petang pada 6 Mei depan.
Di Negeri Sembilan, acara itu akan berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, antara jam 11 pagi hingga 2 petang, pada 7 Mei.
Di Kelantan, progran itu akan diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, Kelantan antara jam 7 hingga 10.30 malam, pada 12 Mei.
Di Terengganu, penganjuran diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dekat Kuala Terengganu antara jam 7 hingga 10.30 malam, pada 13 Mei ini.
Selangor menjadi lokasi terakhir acara itu yang akan diadakan di Kawasan Komersial Fasa III, Taman Sri Gombak mulai jam 8 hingga 11 malam, pada 14 Mei.