BTS Media

Pemimpin jaga kewangan sebuah parti politik akan dipanggil SPRM, menurut laporan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti dalam usaha menjejaki sejumlah wang tunai yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Sumber dipetik Utusan Malaysia berkata, beberapa saksi baharu yang terdiri daripada pegawai di kementerian, syarikat kontraktor dan agensi di bawah kementerian terbabit turut akan dipanggil bagi mengukuhkan siasatan.

Katanya, siasatan SPRM memfokuskan pelbagai sudut untuk mengesan dakwaan pemberian wang tunai menerusi orang tengah sebagai jaminan untuk syarikat berkenaan terus mendapat kontrak.

“Mungkin juga akan ada pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti yang dikaitkan dengan menteri itu juga akan dipanggil, namun ia bergantung kepada siasatan selepas ini.

“Setakat ini, difahamkan, keterangan menteri itu juga telah diambil SPRM sekali lagi, selepas beliau hadir ke pejabat SPRM pada Ahad lalu.”

Semalam, SPRM dilaporkan terus menjejaki wang tunai jutaan ringgit yang didakwa diserahkan orang tengah kepada menteri berkenaan.

Ini susulan penggeledahan di pejabat dan kediaman menteri terbabit yang tidak menemui wang itu atau bukti wang tersebut diterima menteri berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memberi keterangan kepada SPRM pada Ahad lalu, susulan penahanan dua pegawai kanannya yang dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing.

Jumaat lalu, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan ke atas kelulusan kuota pekerja asing.

Sehari sebelumnya, agensi antirasuah itu menahan seorang pegawai kanan Sivakumar bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/04/19/pemimpin-jaga-kewangan-sebuah-parti-politik-akan-dipanggil-sprm-menurut-laporan/

Leave a Comment