GAMBAR ATAS: Pusat Falak Sheikh Tahir, Pulau Pinang.
PUSAT Astronomi Antarabangsa (IAC) mengumumkan tidak mungkin dapat melihat anak bulan Syawal pada Khamis, dan oleh itu Aidilfitri berkemungkinan jatuh pada hari Sabtu.
Badan astronomi yang berpangkalan di Abu Dhabi itu menyatakan di Twitter bahawa ramalan tersebut berdasarkan maklumat astronomi, dan tarikh sebenar Hari Raya Aidilfitri hanya akan disahkan oleh pihak berkuasa setelah melihat anak bulan.
“Penglihatan anak bulan pada petang Khamis adalah sukar kerana ia memerlukan teleskop yang sesuai, pemerhati profesional dan keadaan cuaca yang luar biasa.
“Melihat anak bulan pada Khamis tidak boleh dilakukan dengan mata kasar dari mana-mana sahaja di dunia Arab dan Islam.
“Melihat anak bulan pada Khamis juga mustahil dengan teleskop di kebanyakan negara Arab, kecuali di beberapa bahagian di Afrika Barat bermula dari Libya. Oleh itu, kemungkinan besar hari pertama Aidilfitri akan jatuh pada hari Sabtu,” katanya.
Bagaimanapun, IAC berkata terdapat kemungkinan beberapa negara Islam lain dapat melihat anak bulan pada Khamis berdasarkan waktu, iaitu sebelum matahari terbenam dan kemunculan bulan selepas matahari terbenam di semua wilayah dunia Islam.
Adalah dijangka kebanyakan negara Islam lain akan mengumumkan permulaan Syawal pada hari Jumaat.
Bagi negara yang memerlukan penglihatan tepat hanya menggunakan mata kasar dan teleskop tempatan, mereka dijangka meneruskan ibadah puasa sehingga hari ke-30, justeru bagi mereka Aidilfitri akan jatuh pada hari Sabtu.
-BTS Media