GAMBAR: Office of Arnold Schwazenegger.
Oleh Zainal AS Rashid
“LUBANG gergasi” di jalan raya yang menurut pelakon Hollywood, Arnold Schwarzenegger, ditimbusnya baru-baru ini di jalan kawasan Los Angeles sebenarnya adalah parit yang telah digali untuk kerja-kerja utiliti, menurut pihak berkuasa.
Sebenarnya, syarikat Southern California Gas Co. (SoCal) berkata mereka telah menutup sementara lubang itu dengan asfalt sebelum digantikan dengan permukaan kekal, kata Jabatan Kerja Raya Los Angeles dalam satu kenyataan.
Hujan lebat selama beberapa bulan telah menjadikan jalan tersebut berlubang dan berlopak hingga menyebabkan tayar kenderaan pengguna bergegar teruk apabila melintasi kawasan berkenaan.
Video tindakan Schwarzenegger menimbus semula lubang tersebut telah dikongsi meluas.
“Hari ini, setelah mendengar seluruh kawasan kejiranan melahirkan rasa kecewa dengan keadaan jalan berlubang besar ini hingga merosakkan kereta dan basikal selama berminggu-minggu, saya bersama pasukan saya telah keluar untuk membaiki bahagian yang rosak itu,” katanya dalam satu Tweet. “Saya selalu berkata, jangan hanya merungut, mari kita lakukannya sendiri.”
SoCal Gas dalam satu kenyataan berkata, naik taraf sistem saluran paip di situ telah disiapkan pada 26 Januari, tetapi hujan menunda penurapan kekal, yang biasanya dilakukan dalam kira-kira 30 hari. Krew utiliti kembali ke tapak itu pada hari Rabu, sehari selepas Schwarzenegger menyiarkan video berkenaan, dan meratakan tampalan yang telah disiapkannya untuk menjadikannya lebih kukuh.
-BTS Media