GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.
KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd akan melanjutkan waktu operasi di beberapa stesen terpilih pada Sabtu ini sehingga jam 1.30 pagi sempena hari raya.
Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin membuat persiapan akhir untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Stesen terbabit bagi Aliran Transit Ringan (LRT) laluan Ampang atau Sri Petaling ialah stesen Masjid Jamek, manakala laluan LRT Kelana Jaya ialah Masjid Jamek dan KLCC.
Bagi laluan Monorel pula, membabitkan stesen Bukit Bintang, Raja Chulan, Medan Tuanku dan Chow Kit sementara Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang hanya di stesen Bukit Bintang.
Perkhidmatan bas perantara LRT 11 turut dilanjutkan bagi membolehkan pengguna mengakses ke stesen-stesen berkenaan susulan penutupan enam stesen LRT Laluan Ampang atau Sri Petaling.
“Stesen sambungan turut dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir manakala stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.
“Penumpang juga diminta menggunakan kad Touch ‘N Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal untuk memudahkan perjalanan dan wajib memakai pelitup muka ketika menggunakan pengangkutan awam,”menurut kenyataan itu, hari ini.
Warga kota juga disaran menggunakan pengangkutan awam pada hujung minggu ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di dalam pusat bandar.