Oleh Yusoff A. Shariff
DIPOPULARKAN oleh penyanyi British Tom Jones, lagu “Green, Green Grass Of Home” telah wujud selama lebih lima dekad, dan ia berjaya menawan puluhan jutawan hati di seluruh dunia.
Apabila versi nyanyiannya dikeluarkan pada tahun 1966, ia dengan pantas melonjak dan menduduki Nombor 1dalam carta lagu di banyak negara.
“Green Green Grass of Home” mencecah rekod puluhan jualan juta, selain muncul sebagai track paling laris pada musim cuti Krismas di United Kingdom, hingga berjaya mengekalkan kedudukan No. 1 selama tujuh minggu berturut-turut.
Di Amerika Syarikat, track single itu mencapai No. 11, dan ia juga menjadi No. 1 di Australia.
Ditulis oleh penulis lagu dari Nashville, Tennesse Curly Putman, “Green, Green Grass Of Home” mengisahkan tentang seorang banduan yang menantikan hukuman mati dan amat merindui kehijauan desa dan kampung halaman kelahirannya, lapor Country Thang Daily.
Hanya di penghujung lagu, baru diceritakan tentang nasib yang bakal menimpa lelaki itu, dan selepas dihukum dia akan ‘pulang’ akhirnya ke rumah di kampung untuk dikebumikan.
“Yes, they’ll all come to see me in the shade of that old oak tree as they lay me ‘neath the green, green grass of home,” (Ya, mereka semua akan datang menemui saya di bawah pokok oak tua itu ketika jasad saya disemadikan’ di bawah rumput-rumput hijau kampung halaman,” lagu itu berakhir.
Menurut Putman, sebahagian daripada inspirasi di sebalik penghasilan lagu “Green, Green Grass Of Home” diperoleh selepas menonton filem ‘noir’ The Asphalt Jungle (1950)’ arahan John Huston yang mengisahkan tentang sekumpulan lelaki yang gagal melakukan rompakan.
Salah satu watak, Dix Handley, terlibat dalam rompakan itu kerana kerinduannya untuk keluar dari bandar dan mendapatkan wang untuk membeli balik ladang kuda keluarganya di Kentucky di mana dia dibesarkan.
Bagaimanapun, pada penghujung filem, Dix mendapat cedera parah dan melarikan diri daripada buruan polis.
Dalam adegan terakhir, dia akhirnya berjaya sampai ke ladang kesayangannya itu, yang terletak di sebuah desa indah dengan bukit-bukau di mana sebuah rumah ladang putih tersergam indah masih berdiri, tapi malangnya, sejurus kemudian dia meninggal dunia akibat luka akibat tembakan yang dialami.
Ia sebenarnya gambaran The Asphalt Jungle tentang rumah zaman kanak-kanak Dix yang memberikan inspirasi kepada Putman untuk menulis lirik menggambarkan kampung halaman lelaki itu dalam lagu: green grass, old oak tree (pohon oak tua), dan rumah dengan bercat putih yang telah lusuh. Dan, sama seperti pengakhiran filem itu, episod tersebut telah mengilhamkan lagu, “Green, Green Grass of Home” yang juga berakhir dengan nada sedih.
“Saya rasa di sini kandungan lirik itu penting. Lelaki dalam lagu itu benar-benar berada di dalam sel penjara, tetapi kita tidak mengetahuinya hingga ke lirik akhir. Barisan lirik terakhir itu membuat saya tersentak. Ya Tuhan, ia melakar sebuah lukisan hati melalui lagu, namun ramai peminat ‘Green, Green Grass Of Home’ tidak menyedarinya. Ia adalah mengenai seorang lelaki yang akan dihukum gantung, dan dia hanya mengenangkan bibit paling berharga dalam hidupnya,” kata Tom Jones. “Sehubungan itu , nampaknya ramai orang mengaitkan sentimen tersebut dengan kampung halaman mereka juga.”
Lagu tersebut pertama kali dirakam oleh penyanyi Amerika Johnny Darrell pada tahun 1965, tetapi versi hit pertama dinyanyikan oleh artis popular ketika itu, Porter Wagoner, yang membawanya ke No. 4 dalam carta lagu di AS pada musim panas tahun yang sama.
Seorang lagi artis ‘country & western’, penyanyi popular, Jerry Lee Lewis, juga pernah merakamkan lagu yang sama pada tahun 1965 dalam album Country Songs For City Folks. Itulah yang didengari Tom Jones semasa lawatannya ke New York, hingga membuatkan dia berazam untuk merakam lagu tersebut sendiri. “Saya pernah mengumpul apa sahaja yang direkodkan oleh Jerry Lee Lewis, dan masih lagi melakukannya. Saya berada di New York pada 1965 di mana saya membeli albumnya Country Songs For City Folks, dan saya amat terpikat” katanya.
Tonton video di bawah dan hayati salah satu lagu paling sedih yang pernah disiarkan di radio (sebelum era teknologi maklumat dengan pelbagai platform muziknya), “Green, Green Grass of Home.”
– BTS Media