KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penulis lagu Aduh Malaysia, Altimet menyerahkan royalti lagu yang diinspirasi menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok kepada waris Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, ia sebagai hadiah dan penghargaan atas jasa yang dicurahkan seniman agung kelahiran Pulau Pinang itu.
“Ini adalah tanda penghargaan saya kepada seniman agung kita. Saya mahu bayar balik apa yang disumbangkan oleh beliau kepada industri kreatif tanah air.
“Seperti kita tahu, hak royalti lagu Allahyarham P Ramlee akan berakhir, tahun hadapan. Ini kerana ia sudah 50 tahun selepas seseorang beliau meninggal dunia.
“Jadi, tarikh tamatnya tahun hadapan. Disebabkan itu, ini antara hadiah buat arwah yang diberikan kepada warisnya.
“Rezeki royalti lagu Aduh Malaysia sebanyak 100 peratus untuk mereka, insya-Allah ada rezeki lain untuk saya,” katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Altimet mengumumkan penyerahan royalti lagu Aduh Malaysia menerusi ciapan dalam laman sosial, Twitter memandangkan lirik lagu menyelitkan lirik asal lagu Ali Baba dengan 40 Penyamun hasil ciptaan P Ramlee.
“Saya melepaskan royalti lagu ini kepada waris Allahyarham P Ramlee. 2022 adalah antara tahun terakhir untuk warisnya mendapat hasil harta intelek.
“Hak cipta lupus 50 tahun selepas pencipta meninggal dunia. Lagi ramai orang menyanyi lagi banyak mereka dapat. Terima kasih semua,” katanya.
Untuk pengetahuan, Akta Hak Cipta 1987 hanya memberi tempoh perlindungan selama 50 tahun kepada sesebuah karya selepas kematian penciptanya. Tiada lagi imbuhan royalti kepada waris selepas kontrak royalti tamat.
Lirik lagu Aduh Malaysia ciptaan Altimet menyelitkan lirik asal lagu Ali Baba dengan 40 Penyamun hasil ciptaan P Ramlee.
Lirik lagu Aduh Malaysia ciptaan Altimet menyelitkan lirik asal lagu Ali Baba dengan 40 Penyamun hasil ciptaan P Ramlee.
Justeru, perlindungan hak cipta diberikan kepada waris P Ramlee adalah selepas pemergiannya pada 29 Mei 1973. Kini, kontrak itu sudah berlangsung selama 49 tahun dan berbaki setahun lagi sebelum berakhir.
Malah, karya P Ramlee juga akan menjadi ‘public domain’ atau harta awam, tahun depan. Harta awam memberi maksud, sesiapa sahaja bebas mengguna karya-karya seni tanpa izin.
Dalam masa sama, Altimet gembira apabila lagu Aduh Malaysia tular sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini.
“Alhamdulillah, lebih ramai mendengar lagu, lebih banyak royali akan diterima oleh waris Allahyarham P Ramlee. Terima kasih kepada rakyat yang memasarkan lagu ini,” katanya.
Kata Altimet, lirik asal lagu Ali Baba dengan 40 Penyamun itu relevan dengan mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu Aduh Malaysia.
“Irama dan liriknya sesuai dengan apa yang mahu disampaikan, saya menulis lagu ini pada 2016.
“Saya rasa ia adalah rezeki Allahyarham P Ramlee di mana Allah berikannya kelebihan boleh menyampaikan sesebuah karya dengan baik.
“Dan saya juga tahu beliau berkarya dengan ikhlas, bukan sebab nak kejar duit atau sebagainya.
“Sebagai orang Islam, kita tahu bila bekerja ikhlas, pulangannya pun baik,” katanya.