BTS Media

Anwar: Saya akan jadi sebahagian daripada panel Lembaga Pengampunan untuk Najib

Oleh Zainal AS Rashid

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim akan menjadi sebahagian daripada panel Lembaga Pengampunan untuk memutuskan permohonan bekas perdana menteri Najib Razak bagi mendapatkan pengampunan diraja.

Anwar juga berkata mana-mana individu boleh memohon pengampunan di Malaysia dan ia tertakluk kepada undang-undang dan proses berkenaan, lapor The Star.

“Saya akan menjadi sebahagian daripada proses dan mengenai perkara penganugerahan gelaran kebesaran dan pengampunan, itu adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

“Kita tidak perlu membahaskan perkara ini secara terbuka kerana kita perlu melalui proses itu,” kata Anwar selepas melancarkan program di Projek Perumahan Rakyat di Shah Alam pada Sabtu (8 April).

Anwar juga berkata tidak ada isu konflik kepentingan apabila beliau menjadi sebahagian daripada ahli Lembaga Pengampunan.

“Saya belum melihat prosesnya. Kita kena lihat kes itu. Saya rasa terlalu awal untuk saya mengulas sekarang, kerana saya tidak melihat apa-apa kecuali resolusi UMNO,” kata Anwar.

Menurut Perkara 42(5) Perlembagaan, Lembaga Pengampunan terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Menteri atau Menteri Besar, atau Menteri Wilayah Persekutuan, dan tidak lebih daripada tiga orang ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pada Disember tahun lepas, Kementerian Wilayah Persekutuan telah disusun untuk menjadi sebuah jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Anwar tidak mengumumkan Menteri Wilayah Persekutuan ketika mengumumkan Kabinetnya Disember lalu.

-BTS Media

Leave a Comment