BTS Media

Ismail Sabri dibidas: Isu pengampunan Anwar sudah dijawab mahkamah

ISU PERUNDANGAN yang dibangkitkan Perdana Menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mengenai keabsahan pengampunan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim ketika menghadiri satu program di Bagan Datuk semalam, telah pun dijawab mahkamah, kata seorang pemimpin PKR.

Pengerusi Biro Guaman PKR, Sivarasa Rasiah berkata, Ismail sepatutnya menyemak fakta secara terperinci sebelum membangkitkan isu berkaitan keputusan penghakiman mahkamah secara terbuka.

“Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2020 dan Mahkamah Rayuan pada 21 September 2021 telah menolak kes yang mempertikai keabsahan pengampunan Anwar, dan memutuskan bahawa semua isu perundangan yang disebut Ismail di himpunan itu tidak berasas langsung.

“Amatlah tidak bertanggungjawab bagi seorang perdana menteri sementara untuk membangkitkan isu ini secara “dusta dan salah”, seolah-olah mahkamah tidak pernah memutuskan isu tersebut sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan Ismail membangkitkan isu keabsahan pengampunan yang diberikan kepada Anwar.

Beliau berkata, BN perlu membangkitkan persoalan itu kerana ia diberikan sebaik sahaja PH menjadi kerajaan, dan ketika tiada peguam negara setelah pemecatan Apandi Ali.

“Lagipun, mesti ada menteri besar. Sebab (perkara itu di Kuala Lumpur) maka menteri wilayah perlu jadi ahli lembaga pengampunan. Jadi lembaga pengampunan tidak sah untuk mengampunkan Anwar,” katanya.

Bagaimanapun, Sivarasa berkata, Yang di-Pertuan Agong berhak mengurniakan pengampunan kepada Anwar pada ketika itu kerana beliau telah pun menjalani lebih 90% hukuman penjara lima tahun (60 bulan).

“Bekas peguam negara, Apandi tidak ‘dipecat’ pada ketika itu tetapi telah diminta perdana menteri untuk bercuti pada 14 Mei 2018. Dan beliau telah mewakilkan fungsinya di dalam Lembaga Pengampunan kepada Peguam Cara Negara, Zauyah Loth Khan.

“Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa tindakan mewakilkan itu adalah sah di sisi undang-undang.” tambahnya.

Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2018 atas tiga sabitan kesalahannya, iaitu rasuah salah guna kuasa serta liwat.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/21/isu-pengampunan-anwar-sudah-dijawab-mahkamah-pemimpin-pkr-bidas-ismail/

Leave a Comment