BTS Media

Remaja di Sweden pandu Porsche, BMW, tidak perlu lesen

Oleh Zainal AS Rashid

OLEH kerana belum mendapat lesen memandu, Evelina Christiansen, 15 tahun, kini sudah pun boleh memandu kereta BMW yang canggih di Sweden, di mana remaja dibenarkan memandu mana-mana kereta yang diubah suai supaya hanya boleh bergerak tidak melebihi kelajuan tertentu.

Peraturan lama yang asalnya digunakan untuk pengendalian kenderaan pertanian membenarkan kanak-kanak berumur 15 tahun ke atas memandu tanpa lesen, selagi kenderaan itu diubahsuai dengan tahap kelajuan maksimum 30 kilometer sejam.

Dipanggil sebagai “A-traktor”  kereta dan trak ini begitu popular sejak beberapa tahun sehingga pihak berkuasa bimbang tentang peningkatan kadar kemalangan jalan raya, lapor AFP.

“Saya mendapat kereta ini untuk hari jadi saya,” kata Evelina dengan bangga di hadapan BMW 5-siri biru tua di rumah keluarganya di pinggir Stockholm.

Hadiah itu merupakan ganjaran istimewa atas pencapaiannya di sekolah. Walaupun remaja di tempat lain terpaksa menggunakan skuter sehingga mereka mendapat lesen memandu, golongan remaja di Sweden boleh menggunakan hampir semua kenderaan yang mempunyai had kelajuan terhad.

Keadaan sedemikian kini menyaksikan anak-anak daripada keluarga kaya memandu kereta mewah termasuk jenis Porsche Cayenne.

Bagi Evelina, keretanya itu digunakan untuk berjumpa dengan kawan atau untuk ke sekolah.

Di bahagian cermin belakang kereta diletakkan pelekat tiga segi sebagai tanda amaran bahawa kenderaan yang dipandu itu bergerak perlahan.

Tempat duduk belakang juga mesti ditanggalkan, supaya mereka hanya boleh membawa pemandu dan seorang penumpang. Yang diperlukan hanya lesen menunggang ‘moped’ yang dibenarkan untuk remaja berusia 15 tahun atau lesen mengendalikan traktor bagi yang berumur 16 tahun.

Undang-undang di Sweden tidak ketat bagi sebuah negara yang mengutamakan keselamatan jalan raya.

Peraturan telah dilonggarkan lagi pada pertengahan 2020, justeru membolehkan kelajuan maksimum kereta diubah secara elektronik.

Bagaimana pun, Sweden kini berdepan dengan peraturan serantau Kesatuan Eropah yang mengkritik undang-undang memandu bagi remaja bawah umur itu.

-BTS Media

Leave a Comment