KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menempelak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyatakan bahawa orang miskin boleh dipergunakan pihak terdesak dan diupah untuk melakukan demonstrasi.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), menjelaskan Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian, yang dilihatnya satu bentuk penghinaan kepada rakyat miskin negara ini.
“Kenapa mesti dia bawa hal orang miskin yang diupah. Saya rasa ini menjadi masalah besar dalam negara ini, bila pemimpin yang mula berkecamuk fikirannya dengan membuat cerita yang bukan-bukan. Dia beranggapan orang miskin ini boleh diupah untuk buat apa saja, untuk buat demonstrasi.
“Saya rasa ini merupakan pemikiran Perdana Menteri yang tak sepatutnya wujud dalam negara kita,” katanya dalam satu video yang dikongsi di Facebook beliau semalam.
Anwar dalam sidang media semalam mendakwa sudah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk waspada kerana orang yang ‘desperate’ (terdesak) dan rasa tercabar akan menggunakan rakyat yang miskin untuk diupah bagi menimbulkan apa-apa kekacauan.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Anwar sepatutnya mencari jalan menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan miskin menerusi bantuan yang perlu disalur kerajaan.
“Cari jalanlah untuk selesaikan masalah, bukan menuduh perkara yang bukan-bukan dengan menuduh perkara yang bukan-bukan. Ini boleh menyebabkan anak muda menjadi lagi marah.
“Dengan menuduh orang miskin boleh diupah untuk membuat demonstrasi jalanan juga boleh menyebabkan mereka lagi marah. Mereka sekarang makan pun susah, lagi nak suruh dia (demonstrasi). Perdana Menteri jangan fikir yang bukan-bukan,” katanya.