PASIR SALAK: Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Salak bertukar kecoh apabila bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dihalang daripada memasuki lokasi pemilihan di Dewan FELCRA Seberang Perak, di sini, pagi tadi.
Difahamkan, Tajuddin yang hadir jam 9.50 pagi dihalang masuk oleh petugas keselamatan atas faktor keahliannya yang digantung parti sejak September tahun lalu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak akur dan kemudiannya menunggu di dalam keretanya di luar kawasan dewan seperti diarahkan petugas.
Sementara itu, Tajuddin ketika dihubungi berkata bahawa beliau menyanyangi UMNO dan setia selama 50 tahun dalam parti itu.
Ditanya mengenai insiden dihalang masuk pagi tadi, Tajuddin menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak menghormati dirinya.
“Sombong, mantan Ketua Bahagian pun dihalang masuk. Ini tak pernah berlaku,” katanya.
Pada pemilihan kali ini, anak sulungnya, Dr Faizal Tajuddin bertanding bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian yang juga ditandingi Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Khairul Azwan Harun.
Terdahulu, anak perempuan Tajuddin, Datin Sri Rahayu Tajuddin memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak apabila berjaya menewaskan penyandang, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang juga Ketua Wanita UMNO Perak.