BTS Media

AI, ChatGPT mungkin dah ketinggalan zaman, kini akan muncul ‘organoid intelligence’ yang lebih pintar

GAMBAR ATAS: Majalah Frontiers/ John Hopkins University.

 

Oleh Fetty Rara

KONSEP baharu yang dipanggil kecerdasan organoid (OI), bertujuan untuk membangunkan generasi baharu biokomputer, sedang diperincikan oleh sekumpulan penyelidik.

Fokus mereka ialah bagi memanfaatkan kemajuan dalam pembiakan sel otak manusia secara in vitro untuk menghasilkan kecerdasan buatan yang unggul kepada komputer dan peranti pintar masa depan.

Teknologi ini didakwa menjanjikan pencapaian kecerdasan buatan yang lebih berkuasa dan cekap berbanding yang ada sekarang, seperti ChatGPT dan lain-lain.

Apa itu kecerdasan organoid diperjelaskan dalam kertas kerja oleh beberapa saintis yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers of Science, terutama dari Universiti Johns Hopkins di Baltimore, Amerika Syarikat.

Menurut mereka, penyelidikan pada organoid serebrum, yang  berasal dari sel stem manusia, seharusnya memungkinkan, dalam masa terdekat penghasilan entiti yang mempunyai daya ingatan dan kapasiti pembelajaran yang tulen.

Organoid ialah organ kecil yang dihasilkan secara in vitro.

Istilah kecerdasan organoid (OI) merangkumi semua perkembangan ini. Ia membawa kepada satu bentuk pengkomputeran biologi — atau biokomputer — yang memanfaatkan neuron yang dibiakkan dalam makmal.

Semua ini dianggap sudah cukup untuk menjadikan aplikasi pintar,seperti ChatGPT kelihatan ketinggalan zaman.

Antara muka yang kompleks akhirnya boleh dirangkaikan, dengan organoid otak disambungkan kepada organoid deria seperti organoid retina. Ini boleh, sebagai contoh, membawa kepada aplikasi terapeutik baharu.

Kecerdasan organoid boleh mempunyai kelebihan lagi dari segi penjimatan tenaga, yang dianggap menyamai otak manusia.

Ini dianggarkan mempunyai kuasa “pengiraan” kira-kira satu exaFlop dan menggunakan 20 watt, iaitu, kecekapan satu juta kali lebih baik daripada mesin moden (walaupun melakukan tugas yang sangat berbeza tetapi saling melengkapi).

Sebagai perbandingan, superkomputer paling berkuasa di Amerika Syarikat, Frontier, dianggarkan berfungsi pada 1.1 exaFlop, bersamaan dengan 1.2 bilion bilion operasi yang dilakukan dalam satu saat, untuk anggaran penggunaan tenaga sebanyak 21 megawatt.

Bagaimanapun, berhadapan dengan pelbagai cabaran yang dibangkitkan oleh jenis penyelidikan ini, para penyelidik juga mengakui bahawa pendekatan beretika semestinya perlu diambil kira dalam usaha mereka.

Oleh itu, ia akan mengambil masa, mungkin beberapa dekad, sebelum kita dapat menyaksikan hasil sebenar kecerdasan organoid.

-BTS Media

Leave a Comment