BTS Media

Kumpulan peguam hak asasi persoal pujian untuk Michelle Yeoh, banding siasatan karya filem tempatan

GAMBAR ATAS: Company A24

 

Oleh Yusoff A. Shariff

KUMPULAN peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mempersoalkan pujian yang diberikan oleh pemimpin kerajaan kepada pelakon Michelle Yeoh kerana memenangi Oscar untuk filemnya “Everything Everywhere All at Once”.

Kumpulan itu menganggap bahawa pendiriannya berbeza daripada penyiasatan baru-baru ini terhadap pembuat filem tempatan berhubung kandungan yang dibawa mereka.

Pengarah LFL Zaid Malek menyifatkan sebagai “munafik, tidak ikhlas dan bercanggah” bagi kerajaan untuk memuji pencapaian Yeoh apabila, di Malaysia, tema LGBT dalam “Everything Everywhere All at Once”  boleh membawa kepada penyiasatan jenayah.

“Michelle Yeoh sendiri berkemungkinan diheret untuk disoal siasat polis seperti yang sedang dilakukan terhadap pelakon ‘Mentega Terbang’,” tambahnya, merujuk kepada filem yang disiasat atas dakwaan “provokasi agama”.

Beliau turut merujuk kepada treler filem “Pulau” yang diberikan amaran oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)  kerana mengandungi adegan bersifat seksual.

Menurut Zaid, penerbit filem tempatan telah lama dibelenggu oleh penapisan berlebihan yang dikenakan oleh kerajaan, dan kerajaan sekarang yang kononnya reformis pimpinan Pakatan Harapan juga menunjukkan bahawa mereka tidak berbeza,” katanya.

“Seni, dalam apa jua bentuk, dilindungi di bawah kebebasan bersuara menurut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk melindungi ekspresi seni tersebut dan tidak memberi laluan kepada kumpulan tertentu yang mahu menentukan apa yang boleh atau tidak boleh dihasilkan.”

Dalam satu kenyataan, beliau berkata kemenangan Oscar Yeoh seharusnya menunjukkan contoh jelas tentang kuasa kreatif yang luas wujud di Malaysia, sekiranya mereka diberi peluang untuk berkarya di sini tanpa gangguan”.

“Sekiranya kerajaan benar-benar mahu mengambil kredit untuk sebarang anugerah yang diperoleh oleh artis Malaysia, maka ia harus melindungi produk kebebasan kreatif dalam negara kita sendiri dengan menegakkannya sebagai sebahagian daripada hak yang dilindungi oleh Perkara 10(1)(a) perlembagaan.”

-BTS Media

Leave a Comment