Oleh Fetty Rara
PELAKON kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh, 61, diumumkan Pelakon Wanita Terbaik, pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 yang disiar secara langsung dari Dolby Theatre, Los Angeles.
Dengan kemenangan itu beliau mencatat rekod sebagai bintang Asia pertama meraih trofi bagi kategori tersebut dalam sejarah Oscar.
Yeoh mengatasi empat calon lain, iaitu Andrea Riseborough; Cate Blanchett; Michelle Williams dan Ana de Armas.
Berpakaian gaun putih ketika menerima trofi, Yeoh menyifatkan apa yang dicapai itu sebagai kemuncak usaha gigih selama lebih empat dekad dalam dunia filem.
“Ini membuktikan impian boleh menjadi kenyataan. Jangan biarkan sesiapa persoalkan kebanggaan kita.
“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada ibu saya dan semua ibu di seluruh dunia kerana merekalah adalah adiwira sebenar. Tanpa mereka, kita semua tidak akan dapat berada di sini.
“Ibu saya berusia 84 tahun dan saya akan bawa trofi ini pulang ke rumah. Ibu menonton sekarang di Kuala Lumpur bersama keluarga kawan-kawan. Saya sayang kamu semua…. Saya akan bawa pulang trofi ini,” katanya.
-BTS Media