BTS Media

Filem ‘Pendatang’ cari crowdfunding untuk tayangan percuma

Oleh Zainal AS Rashid

PENGARAH filem Amir Muhammad dan syarikatnya, Kuman Pictures akan menghasilkan filem baharu berjodol ‘Pendatang’, yang bakal muncul sebagai filem pertama dibiayai dana ramai (crowdfunding) sepenuhnya di negara ini.

Menurut satu laporan media pada Isnin (25 Julai), beliau yang juga penerbit bersama filem thriller itu berkata Pendatang diharap dapat mengumpul RM300,000 untuk tayangan percuma.

Karya berlatarkan negara distopia yang mengasing dan menindas kaum tertentu itu akan dimuat naik ke YouTube agar dapat ditonton oleh semua, terutama rakyat Malaysia, katanya.

Amir berkata, terdapat enam peringkat sumbangan antara AS$10 hingga AS$10,000 (RM44 hingga RM44,520) yang akan menikmati faedah dan manfaat kepada penyumbang, bergantung pada peringkat mana dalam proses pembikinan sumbangan dibuat.

(DARI KIRI) Pengarah bersama Amir Muhammad, Pengarah Ng Ken Kin, Penulis skrip Lim Boon Siang.

Beliau berkata, jika pihaknya tidak mengumpul sekurang-kurangnya RM300,000, sumbangan filem itu tidak akan dibuat.

Penggambaran kurang daripada jumlah itu bermakna skop skrip dan produksi terpaksa diolah dan disesuaikan dengan bajet.

Crowdfunding akan bermula dari 8 Ogos hingga 30 Sept di indiegogo.com di mana penyumbang akan dapat mengikuti perkembangan terkini tentang jumlah yang telah dikumpulkan bersama dengan ketelusan penuh transaksi yang dibuat.

Amir berkata beliau memilih untuk membiayai filem itu kerana ia menggambarkan distopia suram, justeru akan menyulitkan jualan kepada pihak penyiar dan syarikat filem.

Selain itu, menggunakan saluran tradisional bagi menayang filem itu akan menimbulkan risiko kelewatan ia sampai kepada penonton, dan oleh itu ia akan ditayangkan secara penstriman pada 31 Ogos bersempena dengan Hari Kebangsaan.

Amir menambah bahawa Pendatang tidak dibuat untuk keuntungan komersial, dan kejayaannya akan diukur melalui capaian dan perbualan dalam kalangan penonton.

Pendatang mengisahkan seorang gadis Melayu yang terkandas dalam sebuah rumah keluarga pada zaman distopia gelap masa hadapan.

Pengarah filem Ng Ken Kin berkata, penonton akan menghayati pengalaman sinematik dari sudut pandangan keluarga Cina yang cuba membawa pulang gadis Melayu itu dengan selamat.

Menurut Ng, filem ini mungkin akan dikritik oleh pihak tertentu. Sesetengah pihak akan sentiasa mempunyai sesuatu untuk diperkatakan tentang sesebuah filem, tetapi pihaknya hanya akan memberi tumpuan kepada perkara yang betul, seperti memastikan agar menghormati sensitiviti semua rakyat Malaysia, dan menghasilkan cerita yang menarik.

-BTS Media

Leave a Comment