BTS Media

Peguam Negara kata AGC tak memihak

JABATAN Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana individu, adalah berdasarkan keterangan dan fakta daripada hasil penyiasatan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata ia bukan disebabkan desakan oleh pihak tertentu atau faktor lain

Katanya, keputusan dibuat dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tanpa memihak kepada sesiapa.

Beliau berkata, ia berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan sewajarnya, selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“AGC menafikan tohmahan wujudnya pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

“Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu terbabit akan didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dituduh di mahkamah, hari ini, mempersoalkan bagaimana AGC membuat keputusan untuk mendakwa dirinya lebih awal sedangkan beliau belum memberi sebarang kenyataan kepada SPRM.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, beliau mengetahui tindakan untuk mendakwa dirinya sudah pun diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

“Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

“Saya sudah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun dan sepanjang tempoh itu, tiada sebarang kesalahan yang saya lakukan,” dakwanya.

Pagi tadi, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan, meliputi empat kerana menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Presiden BERSATU itu mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terbabit dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1075204/pertuduhan-adil-ikut-keterangan-fakta-siasatan-tanpa-memihak-peguam

Leave a Comment