BTS Media

Ketua Armada Bersatu: Tindakan terhadap Muhyiddin “konspirasi total”

GAMBAR ATAS: NST.

 

Oleh Fetty Rara

KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa kerajaan sedang merancang untuk menamatkan karier politik presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Semasa Perhimpunan Agung Umno 2022 pada Januari tahun ini, Timbalan Perdana Menteri (yang juga presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi) sudah membayangkan akan wujud ‘kluster mahkamah’ baharu iaitu daripada Bersatu.

“Ini jelas satu konspirasi yang dirancang oleh kuasa yang mahu menjatuhkan Bersatu, PAS dan Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada media.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN tiba di ibu pejabat SPRM pada pukul 11.15 pagi Khamis untuk direkodkan kenyataannya.

Difahamkan, Muhyiddin dipanggil ke SPRM berhubung skandal Jana Wibawa.

Wan Fahyhsal berkata beliau mendapat tahu bahawa kenyataan Muhyiddin akan direkodkan sehingga pukul 5.00 petang hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata PN dan Bersatu bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Kami akan berkumpul semula di Mahkamah di Jalan Duta esok kerana kami mendapat tahu bahawa pertuduhan akan dibuat.

“Perhimpunan agung kami sepatutnya bermula esok (Jumaat). Kita akan meneruskan perhimpunan agung pada hari Sabtu.

“Kami akan menghantar mesej paling kuat kepada orang ramai dan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa apa yang beliau rancang tidak akan menjejaskan perjuangan kami untuk memperjuangkan keadilan rakyat,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment